LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mahu barisan pemain menganggap baki 10 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang perlu dihadapi sebagai aksi final bermula dengan perlawanan menentang Leeds United di Emirates malam ini.
Sebagai rekod, skuad The Gunners kini memburu trofi EPL pertama dalam tempoh 18 tahun selepas memimpin carta liga dengan mengutip 68 mata selepas mengharungi 38 perlawanan.
Kata Arteta, sekarang adalah detik penentuan buat barisan pemain menentukan mentaliti juara agar tidak tersungkur pada baki 10 perlawanan nanti.
“Secara peribadi, sukar untuk mana-mana pihak menjangkakan keputusan perlawanan yang bakal kami harungi pada 10 aksi terakhir, tetapi apa yang pemain boleh lakukan adalah bekerja keras setiap hari.
“Saya lihat ini adalah kumpulan yang cukup istimewa dan dengan sokongan padu yang diberikan oleh peminat, saya percaya sasaran yang diletakkan ketika ini boleh menjadi kenyataan.
“Kita memasuki fasa terakhir musim ini dan saya harap pemain anggap 10 perlawanan yang bakal kita harungi selepas ini seperti medan final dalam usaha meraih keputusan positif pada setiap aksi,” katanya.
Sementara itu, pasukan The Gunners dilihat sedikit tempang pada aksi bertemu Leeds kerana bakal kehilangan khidmat pemain pertahanan berpengaruh, William Saliba yang masih belum sempat pulih daripada kecederaan.
Posisi Saliba dijangka digantikan oleh Rob Holding yang bakal digandingkan dengan pertahanan dari Brazil, Gabriel nanti. – AGENSI