JAKARTA – Detik serius sebuah majlis perkahwinan di Jawa Barat, Indonesia bertukar jenaka apabila cucuk sanggul milik pengantin wanita tersangkut pada songkok bapanya, lapor portal berita Wolipop.
Video acara sungkeman itu dimuat naik oleh akaun TikTok @gimoproject. Di Indonesia, sungkeman merupakan sesi bermaafan antara golongan muda dan orang tuanya.
Ketika berada di pelamin, pengantin perempuan melutut di hadapan ibu bapanya untuk meminta maaf.
Bagaimanapun, cucuk sanggul wanita itu tersangkut pada songkok bapanya ketika dia hendak bangun tetapi tidak disedari oleh mereka.
Bapa pengantin itu kemudian merasakan ada sesuatu tersangkut pada songkoknya.
Dia kemudian mengambil cucuk sanggul tersebut dari songkoknya dan mencucuknya semula pada kepala anaknya.
Tindakan bapa itu mendapat perhatian netizen di ruangan komen.
“Ekspresi mereka kelakar kenapa semua tidak ketawa,” kata seorang netizen.
“Tak jadi sedih ni,” komen netizen lain. – Agensi