PETALING JAYA – Sebuah bengkel dan rumah musnah dijilat api dalam satu kebakaran di Lembah Jaya Utara, Ampang, petang tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada pukul 4.11 petang.
Katanya, seramai 15 orang pegawai termasuk anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dan Pandan telah digerakkan ke lokasi kejadian dan tiba 12 minit kemudian bagi mengawal kebakaran.
“Kebakaran melibatkan begkel kereta dan rumah berkeluasan 80 kaki persegi masing-masing musnah 90 peratus dan 70 peratus. Ia turut memusnahkan dua buah kenderaan yang berada didalam bengkel tersebut,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Ujarnya, ketika kejadian terdapat enam penghuni warga asing berada di bangunan berkenaan terdiri daripada dua lelaki dewasa, wanita (tiga) dan seorang kanak- kanak.
“Namun, mereka telah bertindak menyelamatkan diri setelah menyedari kebakaran berlaku tanpa mengalami kecederaan,” ujarnya.
Morni berkata, kebakaran berjaya dikawal pada pukul 4.32 petang dan padam sepenuhnya 10 minit kemudian – KOSMO! ONLINE