SHAH ALAM – Tindakan pantas anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya menyelamatkan nyawa seorang penunggang motosikal dalam kemalangan di Kilometer 4.4 Lebuhraya Selat Klang Utara di sini, Selasa lalu.
JPJ Selangor menjelaskan kejadian pukul 5.40 petang itu berlaku ketika sepasukan anggota melakukan rondaan di sekitar kawasan tersebut.
“Melihat mangsa terbaring atas jalan, anggota itu tanpa membuang masa segera memberi bantuan awal dengan mengawal lalu lintas dan meletakkan kon keselamatan. Malah, mereka turut menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan kecemasan paramedik,” katanya dalam kenyataan.
Kelmarin, Kosmo! melaporkan polis menafikan dakwaan tular mengenai seorang lelaki berusia 21 tahun maut akibat sekatan jalan raya oleh JPJ.
Perkara itu tular menerusi kiriman suara dan gambar dua pegawai JPJ berada berdekatan mangsa yang terbaring di jalan berkenaan.
Tegas JPJ, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kerana mangsa hilang kawalan lalu terbabas di jalan arah Bandar Sultan Suleiman menghala Shah Alam itu.
“Mangsa dilaporkan sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE