SABAK BERNAM – Kebimbangan penduduk Parit Panjang, Sekinchan di sini, mengenai ancaman haiwan ternakan mereka terlerai apabila seekor ular sawa ‘gergasi’ berjaya ditangkap pihak berkuasa malam tadi.
Reptilia sepanjang tujuh meter itu ditemui orang awam di kawasan sawah padi di Parit 10 Ban Kanal.
Pengarah Bomba Selangor, Morni Mamat berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 10.38 malam.
Katanya, sepasukan 11 anggota termasuk pegawai dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekichan dikerah dalam operasi khas berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati ular sawa itu berada berdekatan sebuah rumah penduduk di sawah padi tersebut.
“Anggota kita kemudian menangkap reptilia itu menggunakan alat pengepit dan penjerut khas,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Morni, ular itu berjaya ditangkap pihaknya dalam tempoh 20 minit.
“Operasi itu berjalan lancar dan ular berkenaan kemudian dilepaskan ke habitat asal di hutan,” katanya.-KOSMO!ONLINE