fbpx

‘Saya terdengar suara’ – Lelaki serang imam dihantar ke Hospital Permai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH (tiga dari kanan) dibawa keluar selepas dituduh di Mahkamah Majistret di Kuantan hari ini.

KUANTAN – “Saya terdengar suara”. Itu yang dikatakan Ahmad Paijan Abd Rashid, 38, sebaik ditanya jurubahasa sama ada dia mengaku bersalah atau tidak selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di Mahkamah Majistret 1 Kuantan di sini hari ini.

Tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan di bawah Seksyen 296 Kanun Keseksaan kerana melakukan kacau ganggu solat di rumah ibadat iaitu menyerang imam yang sedang menunaikan solat di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 di sini baru-baru ini.

Tidak hanya tidak dapat menjawab soalan pengakuan, Ahmad Paijan yang merupakan bekas tentera itu juga turut tidak dapat mengingati nombor kad pengenalan dirinya sendiri.

Mengikut kertas pertuduhan, pada 26 Mac lalu kira-kira pukul 6.30 pagi di ruang solat utama Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 di sini tertuduh dengan sengaja telah menyebabkan gangguan kepada sembahyang subuh yang sedang dijalankan dengan sah di sisi undang-undang.

Timbalan Pendakwa Raya, Ezuain Farhana Ahmad dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Anuarul Hakim Abdul Muen membuat permohonan di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah agar tertuduh dihantar ke Hospital Permai bagi menjalankan pemeriksaan.

Ezuain Farhana juga meminta agar tertuduh tidak diberikan sebarang jaminan sehingga terdapat laporan psikiatri dari hospital tersebut.

Majistret Tengku Elyana Tuan Kamaruzaman memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Permai bagi mendapatkan pemantauan dan laporan.

Majistret turut memutuskan tiada jaminan dibenarkan ke atas tertuduh selain menetapkan 28 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI