fbpx

Rindu Rasulullah Saharul Ridzwan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAHARUL RIDZWAN

MASIH ada rindu untuk bergiat aktif dalam lakonan, namun kerinduan menebal terhadap Rasulullah SAW mengatasi segala-galanya. Itu hakikat yang sedang dihadam Saharul Ridzwan ketika ini.

LAMA menyepi daripada sebarang projek lakonan, pemilik nama lengkap Muhammad Saharul Ridzwan Hashim itu tersenyum saat diajukan persoalan terbabit.

Kata Saharul, 34, bukan dirinya tidak rindu langsung dengan cahaya kemasyhuran bergelar seorang aktor, namun hatinya kini sudah bulat dengan pendirian bahawa apa yang paling utama adalah ‘kehidupan’ selepas mati.

Dalam erti kata lain, seiring peningkatan usia dengan tanggungjawab semakin melebar, lelaki itu tidak mahu terus hanyut dengan perkara yang bersifat sementara.

“Saya beginilah. Saya sekarang sedang sibuk berniaga. Belajar tentang ilmu perniagaan ikut sunah Rasulullah.

“Selama 10 tahun saya aktif berlakon, rasa rindu itu memang sentiasa ada. Saya buat perkara yang saya suka.

“Tapi, kehidupan sekarang bukanlah untuk buat apa yang saya suka atau kehendak nafsu saya inginkan.

‘Hidup untuk buat Allah, Nabi suka’

Hampir dua tahun vakum daripada sebarang projek lakonan, Saharul percaya rezeki ada di mana-mana atas kehendak Allah SWT.

“Saya hidup sekarang nak buat Allah dan Nabi Muhammad suka. Payah sebenarnya, tapi hari-hari saya mencuba untuk jadi orang yang lebih baik dari semalam,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Kendatipun, andai suatu hari datang rezeki untuk kembali berlakon dengan tuntutan yang sesuai, Saharul bersedia melunaskan ‘kerja’ terbabit.

“Ramai orang di luar sana (peminat) yang ingin saya kembali aktif berlakon. Dahulu, kelab peminat saya (SR Tigers) antara yang paling tinggi jumlah pengikut dalam Instagram (IG). Waktu media sosial tersebut mula-mula nak naik dulu.

“Tapi itulah, saya pasti, insya-Allah kalau rezeki dan Allah izinkan nanti, saya akan berlakon semula,” katanya.

Jarang dilihat menghadiri sebarang acara hiburan, itu merupakan alasan mengapa dirinya tidak lagi aktif dalam dunia lakonan buat masa sekarang.

“Macam mana saya nak hadiri acara atau anugerah, kalau saya sendiri tidak berada dalam industri itu?

Mengakui diri tidak sempurna, sebagai seorang manusia, Saharul menanam azam dalam diri untuk sentiasa memperbaiki hubungan, bukan sahaja dengan Allah bahkan, sesama manusia.

Pakaian bukan sebab

“Saya pun dah dekat setahun lebih tak berlakon. Saya pun tiada dalam pencalonan (anugerah) dan sebagainya.

“Drama lakonan sekarang pun saya tak buat, jadi saya fikir memang diri saya tiada dalam industrilah,” ujarnya.

Pelakon yang pernah menempa populariti menerusi drama Hati Perempuan itu berkata, dia tidak menolak mentah-mentah tawaran berlakon hanya kerana dirinya sekarang lebih menumpukan kepada soal mendekatkan diri dengan agama.

Imej islamiknya juga dikatakan menjadi penyebab banyak produksi takut untuk mengambilnya berlakon.

“Seperkara lagi, saya tak fikir pun hanya sebab imej islamik sekarang, orang dah tak nak beri tawaran berlakon.

“Kalau betul pun, itu terpulang dan saya takkan berganjak walau seinci dengan demand atau permintaan orang.

“Asalkan saya menutup aurat dengan sempurna, itu sudah cukup dan saya gembira.

“Insya-Allah rezeki itu ada di mana-mana dan bukan di tangan manusia,” terangnya.

Saharul tidak menolak tawaran berlakon mentah-mentah, namun berpendapat, perkara tersebut perlu disesuaikan dengan penghijrahannya yang mendekatkan diri kepada agama sekarang. – FARIZ RUSADIO
& INSTAGRAM SAHARUL

Sunah, Ramadan

Ditanya tentang kesanggupan untuk mengorbankan antara sunah Nabi seperti berjanggut lebat, Saharul tenang menjawab, bahawa perkara tersebut tidak akan berlaku.

“Insya-Allah tak agaknya (cukur janggut). Sunah untuk janggut ini saya simpan. Seandainya saya mati kejap lagi, saya tahu satu sunah yang boleh dibawa adalah janggut.

“Hari-hari saya fikir, kalau nak bawa al-Quran ‘dalam’ badan, saya tak tahu sejauh mana kemampuan diri.

“Saya sendiri tak tahu apa sunah yang saya boleh bawa bila mati nanti.

“Sunah yang paling mudah untuk seorang lelaki bawa ke alam kubur nanti adalah bela janggut.

“Hari ini pun ramai simpan janggut tapi barangkali tak ikut cara Rasulullah. Ikut cara orang Barat.

“Cuba kita ubah ikut cara atau sunah ditinggalkan Rasulullah SAW. Kita dapat pahala dan dalam berbuat demikian pada akhir zaman sekarang ini, siapa yang menghidupkan satu pahala sunah maka dapat ganjaran 100 pahala mati syahid,” jelas bapa kepada dua cahaya mata itu.

Sementara mengulas tentang bulan puasa, Saharul berkata, dia kian aktif mengikuti aktiviti berdakwah terutama apabila menjelang 10 Ramadan terakhir.

“Perancangan memang ada (untuk keluar berdakwah). Biasanya awal Ramadan dan 10 malam terakhir. Memang saya akan kosongkan jadual tiada aktiviti lain kecuali untuk mantapkan rohani.

“Insya-Allah 10 malam terakhir nanti, kita ‘slow down’ dan cuba lebih memperbanyakkan ibadah.

“Tentang keluar (berdakwah), ada perancangan saya tanamkan kerajinan untuk ‘keluar’ tiga hari setiap bulan tapi wallahualam, kita tengok kalau Allah pilih saya, saya akan ‘keluar’,” katanya menutup perbualan.

SAHARUL merancang untuk mengosongkan jadual aktiviti menjelang 10 hari terakhir Ramadan untuk fokus terhadap ibadah.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI