SEREMBAN – Program suai kenal dan interaksi pada minggu pertama persekolahan tahun ini memberi kesan positif bukan hanya buat guru dan murid, bahkan seluruh warga sekolah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya mendapat maklum balas yang cukup baik dan apa yang lebih mengujakan, pendekatan itu turut memberi manfaat kepada pekerja lain di sekolah.
“Alhamdulilah, semua gembira, minggu pertama sangat menjadi, ceria, malah makcik kantin pun dapat manfaat dari program yang diperkenalkan ini.
“Jadi kita lihat semua sekolah dapat impak dan beri maklum balas berkesan dari hala tuju yang kita tetapkan. Kita berjaya dalam konteks memastikan murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara, negara sejahtera.
“Setakat ini kita akan teruskan pendekatan ini dan arahan perkeliling ini akan diteruskan supaya sesi persekolahan ada ruang untuk suai kenal serta bersama dengan anak murid,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman antara Bank Islam Malaysia Berhad dan Yayasan didik Negara serta Majlis Berbuka Puasa di Royale Chulan, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, KPM kini sedang melaksanakan Program Jerayawara dengan dimulakan di Negeri Sembilan dan seterusnya di Selangor pada bulan Ramadan ini.
Menurut beliau, antara pengisian penting program berkenaan selain daripada mengumpulkan sumbangan korporat, majlis itu juga dijadikan platform untuk beramah mesra dengan seluruh warga KPM.
“Konsepnya mudah, kita akan turun ke semua negeri. Walaupun santai, maklum balas guru dari segi apa yang dibimbangi mereka berkait rapat dengan pendidikan akan dapat disalurkan.
Menurutnya, anak murid juga akan mendapat peluang yang sama dan pihaknya terbuka untuk mendengar maklum balas dari semua pihak. -KOSMO! ONLINE.