PUTRAJAYA- Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyangkal tanggapan sesetengah pihak kononnya isu politik di Melaka boleh menjejaskan imej parti itu.
Ahli Parlimen Pontian itu menegaskan, peralihan kepimpinan kerajaan negeri itu hanya disebabkan isu kesihatan dialami Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.
“Beliau ada masalah kesihatan dan saya kira ia tidak jejas (UMNO).
“Masalah kesihatan bukan masalah politik, ia sesuatu yang berlaku luar jangka,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan e-Kaunter dan Piagam Pelanggan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam di sini tadi.
Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata, tiada tekanan timbul berhubung isu itu memandangkan ia hanya melibatkan isu kesihatan.
“Apa berlaku di Melaka tidak memberi kesan besar kepada politik semasa tanah air menjelang pilihan raya di enam negeri selepas Hari Raya Aidilfitri kelak.
“Apabila berlaku letak jawatan, tempat perlu diganti oleh Exco Melaka yang paling kanan dan tentulah Ab. Rauf wajar ambil alih bagi diteruskan agenda kerajaan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Sulaiman meletakkan jawatan dan tempatnya bakal diambil alih Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusof. – KOSMO! ONLINE