KUALA LUMPUR – Padah percaya permohonan kad kredit dalam talian seorang lelaki berdepan ugutan simbah cat serta rumah dibakar oleh sindiket ah long.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Ng, 44, berkata, pada 20 Mac lalu, beliau menerima satu mesej dari seorang individu yang dikenali Alex Wong di aplikasi Whatsapp mengaku sebagai ejen Aeon Kredit yang menawarkan servis permohonan kad kredit.
Katanya, beliau yang berminat dengan tawaran tersebut telah menekan satu pautan laman sesawang dan memberi maklumat akaun bank, kontak kecemasan dan maklumat pribadi, penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan penyata gaji.
“Saya mula percaya dan berminat telah menekan satu pautan dan memohon kad berkenaan, Alex memberitahu jika kad kredit berjaya di pohon duit tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun bank saya.
“Selepas itu, saya menerima satu mesej dari Alex dengan gambar resit transaksi kepada saya dan mengatakan pinjaman RM1,000 terdapat caj iaitu tangguh bayaran berjumlah RM300, yuran admin kali pertama 20 peratus dan saya hanya menerima duit RM500,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Ujarnya, apabila mengetahui perkara tersebut dia mula rasa ditipu dan percaya Alex merupakan ah long dan bukan ejen kad kredit.
“Saya memberitahu, saya boleh membayar RM1,000 dan selesaikan hal ini sebab takut ah long itu akan mengugut saya.
“Pada Rabu (29 Mac) lalu, saya telah membuat pembayaran RM1,000 di sebuah bank di Kuchai Lama, setelah membuat pembayaran Alex telefon saya dan meminta lagi RM1,000 atas sebab wang tersebut tidak mencukupi dan itu merupakan bunga bagi hari lambat membuat pembayaran,” ujarnya.
Ng yang mula rasa tidak selesa dengan ugutan tersebut telah memaklumkan dia akan membuat laporan polis berhubung penipuan yang dilakukan oleh Alex itu.
“Alex terus mengugut saya sekiranya laporan dibuat dia akan membaling cat ke rumah saya dan perlu membayar RM10,000 serta membakar rumah saya perlu bayar lagi RM20,000,” katanya.
Tambahnya, risau dengan ugutan berkenaan satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Sri Petaling, pada Rabu lalu.
Sementara itu, Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan (PSCD) MCA, Datuk Seri Michael Chong menasihati agar orang ramai tidak mudah percaya dengan perkhidmatan permohonan kad kredit yang ditawarkan melalui dalam talian.
“Kita ada bank dan sebagainya, tidak susah untuk memohon, kita tidak mahu perkara ini terus berulang dan tidak mahu orang ramai terus menjadi mangsa penipuan ah long,” katanya. – KOSMO! ONLINE