fbpx

Kastam sita alat ganti, aksesori kenderaan dari Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail (empat dari kanan) menunjukkan aksesori dan alat ganti kenderaan dari Thailand yang disita di Padang Besar, Isnin lalu.

PADANG BESAR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis menyita tiga lori kontena membawa aksesori dan alat ganti kenderaan, pakaian serta kasut yang dipercayai tidak diikrar dengan betul di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar pada Isnin lalu.

Pengarah Kastam negeri, Ismail Hashim memberitahu, sepasukan anggotanya dari Cawangan Penguatkuasaan Padang Besar bersama Unit Dagangan Jalan Raya dan Unit Mesin Pengimbas melakukan pemeriksaan rapi ke atas tiga lori kontena bernombor pendaftaran Thailand kira-kira pukul 3.30 petang.

Katanya, hasil imbasan menggunakan mesin pengimbas dan pemeriksaan rapi menemui 400 unit alat ganti kenderaan dan 1,105 unit aksesori kenderaan.

“Kita turut menemui sebanyak 2,080 helai pakaian dan 6,840 pasang kasut tidak berkastam diimport dari negara jiran menggunakan dokumen pengikraran pengimportan yang dipercayai tidak diikrar dengan betul.

“Anggaran nilai barangan yang dirampas termasuk kenderaan disita adalah sebanyak RM264,840 dan duti serta cukai terlibat berjumlah RM62,199 menjadikan jumlah keseluruhan RM327,039,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya menahan ketiga-tiga pemandu lori kontena yang merupakan warga Thailand untuk membantu siasatan termasuk mengesan pengimport terlibat.

“Modus operandi kes ini adalah membuat pengikraran yang tidak benar dan mengelirukan dalam Borang Kastam 1 (K1) dengan tujuan mengelak dikenakan duti dan cukai yang tinggi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI