KOTA KINABALU – Satu sindiket pemalsuan dokumen permit masuk berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam dua operasi berasingan di sekitar bandar raya pada 29 Mac 2023 dan semalam.
Dalam serbuan berkenaan, JIM Sabah berjaya menahan enam individu termasuk seorang daripadanya disyaki dalang sindiket terbabit.
Pengarah JIM Sabah, Datuk Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata, serbuan pertama dibuat sekitar pukul 10.30 malam pada 29 Mac lalu di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sembulan Lama.
“Ia adalah hasil risikan dan pemantauan pegawai penguatkuasa selama sebulan. Menerusi pemeriksaan yang dijalankan mendapati seramai tiga lelaki dan dua wanita berusia 24 hingga 52 tahun yang masing-masing didapati memiliki permit masuk disyaki palsu ditahan dalam serbuan itu.
“Pegawai penguat kuasa juga merampas 28 keping permit masuki disyaki palsu, 16 keping surat arahan pembayaran permit masuk yang disyaki palsu, 15 keping resit pembayaran permit masuk disyaki palsu, wang tunai jumlah RM2,268.
“Turut dirampas dua komputer riba, empat telefon bimbit, borang permohonan IMM13, stampad, resit pembayaran pendaftaran MyKad dan cabutan daftar kad pengenalan yang disyaki palsu,” katanya ketika sidang media di ibu pejabat JIM Sabah hari ini.
Mengulas lanjut, Sharifah Sitti Saleha memaklumkan susulan serbuan itu, JIM berjaya menahan seorang lagi wanita di kawasan Riverside Sembulan pada pukul 1 petang semalam.
“Suspek berusia 59 tahun itu didapati memiliki 18 resit pembayaran pendaftaran kad pengenalan MyKad yang disyaki palsu dan wang tunai sebanyak RM744.
“Penahanan suspek telah membawa kepada penggeledahan sebuah rumah di Kuala Manggatal dan menemui lapan resit rasmi pembayaran JIM, lapan surat arahan pembayaran permit masuk yang disyaki palsu.
“Turut dirampas, 15 borang permohonan kad pengenalan lengkap dengan gambar dan cap jari serta dua keping borang permohonan kad pengenalan.
“Wanita terbabit disyaki kemungkinan antara dalang dalam sindiket ini dan JIM Sabah masih mengesan seorang lagi dalang disyaki berada di luar Sabah,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya turut berjaya mengesan modus operandi sindiket berkenaan yang menawarkan bayaran secara berperingkat bagi memperoleh permit masuk kepada warga asing.
“Sindiket ini dipercayai menawarkan permit masuk kepada warga asing secara berperingkat bermula dengan bayaran sekitar RM100 hingga RM800.
“Sindiket yang disyaki sudah beroperasi sejak April tahun lalu itu dipercayai mengaut keuntungan sekitar RM60,000 hingga RM100,000,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 55D dan Seksyen 56 (1)(I) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE.