IPOH – Individu yang mendakwa ayam dibelinya di sebuah pasar raya di Kuala Kangsar baru-baru ini disembelih tidak mengikut syariat Islam tidak pasti dengan dakwaannya sendiri.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, ini kerana pengadu berkenaan telah memakan ayam dibelinya itu biarpun telah memuat naik kandungan di media sosial bahawa daging ternakan itu tidak halal.
“Apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesan pelapor dan tanya apa yang dilakukan dengan ayam berkenaan, dia mengakui telah memakannya. Ini bermakna dia pun tak pasti benda itu betul atau salah.
“Kalau pengguna tak pasti dengan sesuatu perkara, jangan cepat sebarkan di media sosial. Rujuk dengan pihak berkuasa terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Seorang pengguna Facebook bernama Fathin Elida pada Selasa lalu mendakwa ayam dibelinya di sebuah pasar raya di Kuala Kangsar tidak disembelih mengikut syarikat Islam.
Dakwaan tersebut dibuat pengguna berkenaan yang mendapati ayam berkenaan mempunyai kesan tebuk di bahagian kepalanya.
Pada masa sama, Harith Fadzilah, siasatan pihaknya dan KPDN mendapati ayam tersebut telah disembelih mengikut syariat oleh syarikat pembekal.
“Ketiga-tiga syarikat pembekal tersebut mempunyai sijil penyembelihan ayam dan hasil siasatan dilakukan mereka mengikut piawaian serta ia (ayam) disembelih dengan betul.
“Kenyataan (dakwaan pengguna media sosial) itu tak benar. Pengguna tak perlu waswas (melakukan pembelian ayam di pasar raya terlibat),” katanya. – KOSMO! ONLINE