MADRID – Pengendali berpengaruh dari Sepanyol, Luis Enrique mengakui masih terlalu awal untuk mengasah taring dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) sekali gus menolak sebarang spekulasi apabila dikaitkan dengan kelab Tottenham Hotspur ketika ini.
Sebagai rekod, Spurs sedang giat mencari jurulatih baharu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Antonio Conte yang dipecat pada minggu lalu susulan prestasi tidak konsisten yang dipamerkan sepanjang musim ini.
Enrique yang tidak memegang sebarang jawatan selepas dipecat daripada menjadi pengendali Sepanyol selepas kempen Piala Dunia 2022 mengakui masih ada banyak masa untuknya mencongak semula masa depan.
“Saya memang mahu ke England untuk bekerja, tetapi bukanlah dalam masa terdekat khususnya apabila saingan musim baharu bermula pada Julai nanti.
“Secara peribadi, saya sukakan pasukan yang boleh memberikan cabaran yang kompetitif dan itu tidak bermakna saya akan menerima apa sahaja tawaran daripada kelab EPL.
“Cuma buat masa ini, saya masih belum menerima sebarang tawaran rasmi dan hanya mendapat tawaran daripada pasukan kebangsaan yang sedang saya pertimbangkan,” katanya.
Mengulas lanjut, bekas pengendali Barcelona itu mengakui selesa dengan khabar angin yang diberitakan oleh media di England meskipun ia tidak benar sama sekali.
“Jujurnya selepas Piala Dunia, saya tidak baca berita sukan di Sepanyol sebaliknya hanya membaca media dari England meskipun ada dakwaan daripada berita tersebut tidak semuanya tepat,” katanya yang turut dikaitkan sebagai pengganti Pep Guardiola di Manchester City. – AGENSI