fbpx

Banduan perlu sokongan keluarga untuk terus hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORLIDA AKMAR IDROS, WARTAWAN EKSEKUTIF

SEBAGAI seorang manusia biasa, kita pasti tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan dalam hidup. Ia adalah lumrah bagi insan yang mempunyai banyak kekurangan, kelemahan dan tidak sempurna.

Bagaimanapun, itu tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk kita terus mengulangi kesalahan sama, sebaliknya perlu terus insaf dan bertaubat.

Baru-baru ini, penulis berkesempatan menemu bual sebahagian daripada 20 banduan Penjara Pokok Sena yang berpeluang memeluk dan mencium anak-anak setelah sekian lama terpisah di sebalik tirai besi.

Pertemuan yang penuh emosi dengan air mata itu direalisasikan menerusi Program Jalinan Kasih Ibu dan Anak peringkat penghuni wanita Penjara Pokok Sena.

Program tersebut bukan sahaja mampu mendekatkan semula hati seorang ibu dan anak, malah memberi semangat kepada banduan untuk terus kuat menjalani hukuman penjara, seterusnya menjadi insan berguna.

Seorang banduan yang dikenali sebagai Kina, 28, berkata, dia sudah dua tahun dipenjara atas kesalahan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana melakukan penderaan.

“Saya langsung tidak boleh terima apabila tangan digari dan rasa tertekan apabila terpaksa berpisah dengan suami dan dua anak lelaki yang masih kecil.

“Hari-hari saya meratapi nasib diri dan alami kemurungan. Nasib saya baik kerana ramai pegawai penjara di sini bantu saya untuk berfikir secara waras termasuk dekatkan diri dengan Tuhan,” katanya.

Ujarnya, sebagai seorang peng­huni tirai besi, dia sangat memerlukan sokongan daripada ahli keluarga terutama dari segi emosi untuk bangkit semula dalam hidup.

“Saya dan rakan-rakan penghuni lain bersyukur kerana dapat peluk, cium serta menyuap nasi ke mulut anak. Alhamdulillah, suami juga saya hadir.

“Apa yang kami perlukan sebenarnya adalah sokongan masyarakat terutama dari segi penerimaan keluarga selepas kami dibebaskan nanti,” katanya yang perlu menjalani hukuman penjara selama dua tahun lapan bulan lagi.

Kina pernah memenangi johan Pertandingan Tilawah Al-Quran Dan Nasyid peringkat penghuni penjara seluruh negara pada tahun lalu.

Sementara itu, Pengarah Penjara Negeri Kedah, Abdul Kadir Jailani Ismail berkata, penghuni penjara sememangnya memerlukan sokongan yang berterusan daripada keluarga masing-ma­sing.

“Kita mahu menunjukkan bahawa keluarga masih ada dan menyayangi mereka. Ia secara tidak langsung akan bantu mendorong penghuni untuk cekal di penjara seterusnya berubah menjadi insan berguna.

“Walaupun ibu tinggal di penjara, hubungan dan kasih sayang dengan anak tidak terputus. Kita mahu pecahkan stigma buruk kepada penghuni ini bila dibebaskan nanti,” katanya.

Menurutnya, hubungan dan sokongan kuat daripada keluarga boleh mengelakkan bekas peng­huni itu daripada mengulangi kesilapan lama.

“Penghuni di sini menjalani pelbagai program termasuk berbentuk keagamaan, motivasi dan kemahiran. Mereka dididik untuk menjadi insan lebih baik.

“Ada yang berjaya menjadi tahfiz dan johan tilawah al-Quran peringkat penjara,” katanya.

Tambahnya, banyak juga pihak industri yang mengambil penghuni penjara yang menyertai Sistem Parol dan Pembebasan Berlesen untuk bekerja dengan mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI