fbpx

Bakal bikin air mata berjurai, Quran Pondok Buruk kembali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELEPAS 20 tahun, Rosyam, Jalaluddin, Vanidah dan Fauziah Nawi kembali bersatu dalam sebuah naskhah hebat karya Rashid Sibir, Quran Pondok Buruk.

PETALING JAYA – Selepas lebih 20 tahun, drama popular Quran Pondok Buruk sekali lagi bakal meruntun jiwa penonton pada hari raya Aidilfitri tahun ini.

Lebih membuatkan penonton teruja, drama hebat arahan Rashid Sibir itu masih mengekalkan barisan pelakon asal naskhah Pondok Buruk yang ditayangkan sekitar tahun 2000.

Antara barisan pelakon yang menjayakan Quran Pondok Buruk ialah Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rosyam Nor, Fauziah Nawi dan Vanidah Imran.

Rashid dalam video TikToknya menjelaskan, Quran Pondok Buruk adalah sebuah hadiah istimewa buat peminat drama tersebut selepas 20 tahun.

“Selepas 20 tahun, kami beri anda Pondok Buruk tetapi kali ini judulnya Quran Pondok Buruk,” katanya.

Manakala, Rosyam yang menggalas watak Usop teruja dan tidak menyangka drama yang pernah mencetuskan fenomena satu ketika dahulu tersebut bakal kembali selepas lebih dua dekad.

“Tak sangka selepas 20 tahun, Pondok Buruk kembali kepada anda. Rashid menggarap dengan sebaik-baiknya.

“Sudah lama juga anda tidak lihat saya bergandingan dengan Fauziah,” ujar pemilik nama penuh Mohamed Noor Shamsuddin berkenaan.

Manakala Vanidah memberitahu watak Rina yang dipegangnya bakal menebus smeula dosa-dosa kepada kedua ibu bapa dalam Quran Pondok Buruk.

“Saya pegang watak Rina yang juga anak derhaka.

“Kali ini Rina ingin tebus kembali dosa-dosanya kepada kedua ibu bapa,” kongsinya.

Sementara itu, rata-rata netizen tidak sabar untuk menonton drama hebat yang dikatakan mampu memberi keinsafan kepada para penonton.

“Pasti berjurai air mata nanti, tak sabar!” kata seorang netizen.

“Ini drama wajib tonton hari raya, sediakan sekotak tisu nanti,” komen seorang lagi pengguna TikTok.

Sekadar info, Pondok Buruk turut dibintangi Allahyarham Ismail Din yang melakonkan watak Pak Mat yang lumpuh dan menggunakan troli kayu untuk bergerak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI