fbpx

Adrianna Cinta artis kelahiran TikTok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADRIANNA CINTA

USIA belasan tahun bukan penghalang untuk penyanyi muda bertubuh genit ini memasang impian bergelar penyanyi berjaya.

Bersandarkan minat yang bercambah sejak di sekolah rendah, Adrianna Cinta tidak menyangka akhirnya sudah memiliki single sendiri pada usia 19 tahun.

Single berjudul Sayang yang dicipta sendiri oleh Adrianna diterbitkan syarikat Sony Music Malaysia.

Adrianna yang juga pelajar bidang pengurusan perniagaan di sebuah universiti awam menceritakan sedikit tentang lagu tersebut.

“Lagu ini dicipta sepenuhnya berdasarkan imaginasi saya. Ketika terbayangkan situasi itu, saya terus menjadikannya sebuah lagu.

“Saya selalu mendapat idea mencipta lagu selepas melihat perkara-perkara menarik menerusi tontonan filem dan daripada mendengar lagu yang disukai.

“Selain itu, saya juga menggunakan imaginasi dan apa yang saya lihat di sekeliling sebagai inspirasi dalam menghasilkan lagu,” kata pemilik nama lengkap Puteri Adrianna Cinta Megat Faizal itu.

Menceritakan detik sebelum terjebak dalam bidang nyanyian, Adrianna didorong oleh seorang guru praktikal di sekolah menengahnya sehingga dia mampu menempa nama dalam industri muzik.

“Sejak berumur 12 tahun, saya memang suka menyanyi dan bapa saya pula memupuk minat tersebut kerana sering mengajak saya ke pusat karaoke pada hujung minggu.

“Semasa berumur 16 tahun, saya sering membuat persembahan di sekolah dan dari situ cikgu praktikal mendorong saya menyertai uji bakat peringkat sekolah sehingga saya menyimpan hasrat untuk menjadi penyanyi,” luahnya gembira.

NYANYIAN ‘cover’ Adrianna menerusi lagu Cinta Ini Membunuhku meraih sebanyak 3.7 juta tontonan dalam TikTok.

Setelah menyimpan hasrat sebagai penyanyi, Adrianna bergiat aktif dalam aplikasi TikTok memuat naik video menyanyikan lagu ‘cover’ sebagai hobi.

“Saya mula masuk industri bermula dari TikTok semasa betul-betul baru habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memuat naik video menyanyi lagu Sayang versi singkat.

“Kapsyen video tersebut pula saya menyatakan bahawa tidak tahu sama ada rakyat Malaysia dapat menerima lagu ini.

“Keesokan harinya ketika bangun tidur, video tersebut sudah tular dan dari situ saya sering memuat naik video menyanyikan lagu ‘cover’ dalam TikTok,” kongsinya lagi.

Selepas kejadian tersebut, tuah memihak kepada Adrianna apabila dilamar Sony Music Malaysia dan mengikat kontrak dengannya.

Lagu Sayang boleh dimuat turun menerusi iTunes dan dinikmati dalam semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.

SAYANG merupakan kombinasi genre pop dan indie yang menjadi jati diri Adriana Cinta. Sementara muziknya pula mendayu-dayu seolah membelai perasaan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI