fbpx

3 diberkas belasah dua pengusaha kedai makan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Dua pengusaha kedai makan mengalami cedera setelah diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan kayu besbol dan sebatang kayu dalam kejadian merusuh di Jalan Abdullah Tahir, di sini Rabu lalu.

Dalam kejadian pukul 5.15 pagi itu, mangsa berusia 44 tahun dan rakannya berusia 29 tahun mengalami kecederaan di bahagian badan, perut dan kepala dipukul suspek berkenaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sepasukan anggota polis dari unit kereta peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Johor Bahru Selatan yang sedang membuat rondaan di kawasan itu berjaya menahan tiga suspek terlibat.

“Pasukan MPV dari IPD Johor Bahru Selatan yang berada di lokasi kejadian telah berjaya menangkap tiga lelaki warga tempatan yang terlibat dalam kegiatan merusuh itu.

“Sementara itu, tujuh lelaki warga tempatan yang lain telah melarikan diri dengan menaiki dua buah kenderaan iaitu kereta jenis Proton Gen2 dan Toyota Vios,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarul Zaman memberitahu, ketiga-tiga lelaki warga tempatan yang ditahan di lokasi kejadian berusia lingkungan 23 hingga 26 tahun.

Katanya, pihak polis sedang giat mengesan ketujuh-tujuh lelaki yang melarikan diri tersebut bagi membantu siasatan.

“Mangsa telah membuat laporan polis kira-kira pukul 6.30 pagi pada hari yang sama kejadian berlaku di IPD Johor Bahru Selatan.

“Pengadu mengalami kecederaan luka dan calar di beberapa bahagian badan manakala rakan sekerjanya mengalami sakit di bahagian perut dan kepala,” katanya.

Tambahnya, tiga suspek terbabit direman selama empat hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Katanya, polis sedang menyiasat punca kegiatan merusuh dan merosakkan harta benda itu berlaku selain mengesan suspek yang masih bebas.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi IPD Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323 atau pegawai penyiasat kes Inspektor Jacky Jaulis di 014-6566820,” katanya.

Semalam tular sebuah video berdurasi dua minit lima saat yang memaparkan kejadian sekumpulan lelaki yang merusuh dan melakukan khianat harta bend di jalan Abdullah Tahir.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI