PUTRAJAYA- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya mengesan sebanyak 2,711 kes menerusi pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam yang diadakan di seluruh negara.
KPDN dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu merupakan usaha dilaksanakan kerajaan dalam mengawal dan menetapkan harga maksimum ayam dan telur sepanjang bulan Ramadan serta menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Berdasarkan statistik penguatkuasaan berhubung pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam, kami telah melakukan sebanyak 183,047 pemeriksaan dan menghasilkan 2,711 kes di seluruh negara.
“Antara kesalahan dikesan adalah menjual melebihi harga kawalan, kegagalan mematuhi penandaan harga serta kesalahan lain.
“Nilai kompaun yang dihasilkan adalah berjumlah RM 482,400,” katanya di sini tadi.
Dalam perkembangan sama, KPDN berkata, pihaknya juga terus komited membantu rakyat dalam mengurangkan beban akibat peningkatan kos sara hidup dan menangani isu kenaikan harga barang tidak munasabah.
Katanya, usaha itu bagi memastikan pengguna berada dalam keadaan selesa sepanjang sambutan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.
“KPDN juga mengadakan sesi libat urus bersama beberapa kementerian lain termasuk pihak pengeluar diwakili Persekutuan Persatuan Penternak-Penternak Malaysia (FLFAM) bagi memastikan isu bekalan dan harga dapat ditangani secara holistik.
“Pengeluar menerusi FLFAM juga memberi jaminan bekalan ayam dan telur mencukupi sepanjang bulan Ramadan serta menjelang Hari Raya Aidilfitri,” jelasnya.
Menurutnya, pengeluar juga menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan pihak kementerian bagi menangani sebarang gangguan dengan menyalurkan segera bekalan ke atas mana-mana lokaliti mengalami masalah.
“KPDN juga akan giat melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan di seluruh negara serta menggalakkan pengguna menyalurkan maklumat ketidakpatuhan undang-undang,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE