fbpx

K2

Waswas sudah berniat puasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bersahur merupakan salah satu perbuatan yang dianggap sebagai berniat puasa. – Gambar hiasan

Saya waswas sama ada sudah berniat puasa atau belum pada malam tadi. Disebabkan kerja dan pagi tadi tidak bersahur, bagaimanakah dengan puasa saya hari ini? Mohon penjelasan sama ada puasa saya sah atau tidak?

JAWAPAN: Rukun puasa ada tiga iaitu niat, menahan diri daripada melakukan perkara membatalkan puasa dan orang berpuasa.
Dalil bahawa niat merupakan rukun puasa bersandarkan hadis daripada Amirul Mukminin Abi Hafs, Umar bin al-Khattab RA katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat. Maka, sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya dan siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya.” (Riwayat al-Bukhari dalam permulaan kitab Sahihnya dan riwayat Muslim 1907)

Terdapat beberapa syarat niat di sisi mazhab Syafii dalam isu puasa Ramadan iaitu At-ta’yin iaitu menjelaskan apakah jenis puasa tersebut sama ada puasa Ramadan atau nazar atau sebagainya?

Al-Jazam: iaitu benar-benar memastikan tanpa ragu-ragu. At-Tajdid iaitu memperbaharuinya setiap hari.

Ini kerana ia adalah ibadah yang tersendiri. At-Tabyiit iaitu menetapkan niat pada malam hari. Waktunya adalah selepas tenggelamnya matahari sehinggalah terbitnya fajar sadiq (waktu bersahur juga masih dikira sebagai waktu untuk berniat).

Ini berdasarkan sebuah hadis Nabi SAW riwayat Hafsah RA: “Barang siapa yang tidak berniat (pada malam hari) sebelum terbit fajar, maka tiada puasa baginya (pada hari tersebut).” (Riwayat Abu Daud, 2454)

Tempat niat adalah di hati. Tidak disyaratkan untuk melafazkan niat. Perkara ini tidak terdapat khilaf padanya. Adapun melafazkan niat, ia untuk memastikan kita telah berniat.

Bersahur boleh dikira berniat. Menurut pendapat yang muktamad (utama) dalam mazhab Syafii sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Syirwani ketika beliau mengulas tulisan Ibnu Hajar al-Haithami dalam kitab Tuhfatul Muhtaj: “Sekiranya bersahur untuk tujuan berpuasa atau menghalang (dirinya) daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa kerana bimbang terbitnya fajar ditambah pula muncul dalam fikirannya untuk berpuasa, maka sudah cukup (dikira sebagai niat).

Ini kerana terdetiknya untuk berpuasa pada fikirannya bersama dengan perbuatan yang mendorong ke atasnya (untuk berpuasa) atau dengan meninggalkan perbuatan yang menafikan (orang tersebut berpuasa) secara tidak langsung telah mengandungi niat puasa.

Dalam konteks Ramadan, termasuk dan dianggap juga telah berniat puasa Ramadan jika kita merancang atau terdetik hasrat untuk bersahur walaupun tidak bangun bersahur.

Ini kerana secara praktikalnya, apabila Ramadan dan kita menyedari kita dalam bulan ini dan mengetahui kewajipan berpuasa padanya, kita akan sentiasa berfikir untuk berpuasa, dan tidak ada puasa lain yang berlegar di fikiran melainkan puasa Ramadan.

Antara situasi yang berkemungkinan kita dikira tidak berniat puasa Ramadan adalah seperti seseorang menyakini hari esok adalah hari raya, namun ternyata masih bulan Ramadan, atau seorang wanita yang sedang haid menyangka haidnya bersambung esoknya, namun ternyata telah berhenti sebelum subuh.

Perkara ini berbeza jika berazam dan berniat untuk bersahur pada bukan bulan Ramadan. Ini kerana syarat niat adalah keinginan untuk berpuasa dan menjelaskan kategori puasa sama ada puasa Ramadan, nazar dan sebagainya.

Jika kita berniat untuk bersahur, namun tidak bangun bersahur pada bulan lain, keinginan bersahur boleh dianggap sebagai niat berpuasa.

Namun tidak boleh dianggap sebagai puasa Ramadan kerana boleh jadi kita berniat puasa nazar, sunat dan sebagainya. Sebagai kesimpulan, perkara yang perlu ada untuk memastikan kesahihan puasa adalah niat dan tempatnya adalah di hati. Namun, untuk memastikan sama ada kita telah berniat merupakan sesuatu yang sukar untuk ditentukan kerana ia merupakan perkara tersembunyi.

Oleh yang demikian, para ulama mengajar untuk melafazkan niat, supaya dapat dijadikan penanda aras bahawa kita telah berniat. Selain melafazkan niat, perkara-perkara lain juga boleh menjadi petanda bahawa seseorang itu telah mempunyai niat seperti bangun bersahur dan sebagainya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI