WASHINGTON – Seorang wanita di Amerika Syarikat (AS) kini menghargai janggut yang tumbuh pada wajahnya selepas dia mencukur bulu tersebut setiap hari selama 16 tahun, lapor akhbar Daily Star.
Coral Sanchez, 29, pertama kali menyedari perubahan pada wajahnya ketika dia berusia sembilan tahun dan sejak berusia 12 tahun, dia bercukur pada setiap pagi untuk mengelak daripada diejek dan dibuli.
Dia menghabiskan masa bertahun-tahun untuk menyembunyikan janggutnya selain turut merahsiakan perkara itu daripada bekas kekasih selama empat tahun mereka bercinta.
Janggut Sanchez tumbuh disebabkan oleh keadaan dipanggil hirsutisme. Walaupun dicukur pada awal pagi, ia akan tumbuh semula lewat petang hari yang sama.
Selepas menjadi gelandangan pada usia 26 tahun, Sanchez gagal bercukur pada setiap hari dan mula mempersoalkan tindakannya membuang janggut.
Pasangan baharu Sanchez, Illias Clark, 25, memberikan sokongan dan meyakinkan wanita itu bahawa dia cantik dan janggut itu tumbuh secara semula jadi.
Sanchez akhirnya membuang pisau cukur pada Mac 2022 dan janggutnya yang disimpan selama setahun kini berukuran 10 sentimeter.
“Saya benar-benar terkejut betapa saya menyukainya, Rasanya ia sesuai dengan muka saya,” katanya. – Agensi