fbpx

Terkejut harga lauk berbuka puasa tak masuk akal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIGA jenis lauk berharga RM19 yang dibeli oleh seorang pengunjung Bazar Ramadan Bandar Jerantut semalam.

JERANTUT – Beberapa pelanggan yang membeli juadah berbuka puasa bazar Ramadan di bandar ini terkejut apabila harga makanan yang dikenakan penjual tidak ‘masuk akal’ kerana terlalu mahal.

Seorang pelanggan, Aliasa Mirasa, 45, berkata, dia terkejut apabila makanan yang dibeli, iaitu seekor ikan kembung berlada, satu senduk kecil kulat dan tiga sudu bilis campur asam tempoyak dijual pada harga RM19.

“Harga tiga jenis menu ini tidak munasabah, sekali gus membebankan pengguna ber­belanja, walhal bahan untuk memasak menu ini tidaklah mahal sangat.

“Malah apabila waktu berbuka, anak saya yang menjamah makanan ini merungut kerana rasanya sangat pedas, masin dan isi ikan agak keras,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, dia tidak kisah peniaga mengambil untung, tetapi biarlah ia berpada-pada dan tidak terlalu membebankan pengguna.

Dalam pada itu seorang kaki tangan swasta dikenali sebagai Joy, 35, turut mengakui, harga makanan juadah berbuka puasa di gerai dan bazar Ramadan di bandar ini lebih mahal berban­ding pada hari biasa.

“Sudah hampir seminggu berpuasa, saya dapati ada peniaga mengenakan harga makanan yang mahal berbanding ra­kan peniaga lain walaupun menjual menu sama berasaskan ikan dan sayur,” katanya.

Joy yang berasal dari Selangor berkata, makanan yang dijual di bandar ini pada bulan puasa dan hari biasa juga sangat mahal berban­ding tempat lain.

Seorang lagi pengunjung bazar Ramadan berkenaan, Azhari Mustaqim, 55, berkata, ketika singgah di sebuah gerai, dia terperanjat apabila peniaga memberitahu, harga masak lemak sayur pucuk paku adalah RM6 sebekas plastik kecil dengan anggaran satu senduk kecil.

Katanya, ada beberapa gerai juga tidak meletakkan tanda harga sehingga sukar untuk pengguna membuat pilihan, menyebabkan mereka terbeli makanan yang mahal.

“Oleh kerana hendak menziarahi rakan di sebuah taman perumahan di sini, saya terpaksa berbelanja hampir RM80.

“Saya hanya memperoleh juadah berasaskan dua ekor ikan kembung, sayur-sayuran dicampur tempoyak, masak lemak dan sedikit kuih kampung,” ujarnya.

Dalam pada itu, tinjauan yang dibuat di bazar Ramadan itumendapati, menu berasaskan ikan dijual antara RM10 hingga RM15, tidak termasuk ikan su­ngai yang diakui harga kayangan.

Sayur-sayuran dicampur tempoyak, masak lemak dan sebagainya pula dijual melebihi RM6 dalam bungkusan plastik kecil.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI