PETALING JAYA – Tidak pernah serik dengan kecaman, usahawan kosmetik sensasi Datuk Aliff Syukri sekali lagi mengundang perhatian apabila tampil dengan busana aneh dalam muzik video lagu raya baharunya tahun ini.
Dalam video yang dikongsikan, Aliff tampil dengan baju ketat persis pakaian mandi berwarna biru, lengkap bersamping serta
songkok.
Tidak keseorangan, lima penari yang mengiringi turut tampil dengan pakaian serupa.
Aliff dalam ruangan kapsyen mengakui tidak sabar untuk memperdengarkan lagu raya terbaharunya itu kepada umum, selain melabelkan dirinya sebagai penyanyi nombor satu negara.
“Beri laluan kepada lagu raya nombor satu bakal sohor kini empat tahun berturut-turut, Cak Cun Cak Raya.
“Semoga lagu raya ini memberi sinar kebahagiaan kepada anda semua untuk menyambut Hari Lebaran yang bakal tiba tidak lama lagi, daripada artis nombor satu Malaysia,” katanya.
Menjengah dalam ruangan komen, rata-rata netizen berpendapat fesyen yang digayakan Aliff dan penari merupakan gimik promosi untuk meraih perhatian ramai.
“Dia buat baju begitu supaya orang kecam dan raih perhatian. Ini semua teknik pemasaran, kemudian muncul dengan video menangis minta maaf.
“Bukankah ini baju yang dipakai dalam program ‘bolos saja dinding itu’?
“Okey sahaja nak lancar lagu raya tetapi baju biarlah bersesuaian, sudah seperti nak berenang,” komen segelintir netizen.
Sekadar info, ini bukan pertama kali video muzik Aliff dikecam.
Sehingga kini, video tersebut meraih lebih 890,000 tontonan dalam Instagram sejak dimuat naik awal pagi tadi.
Tahun lalu, usahawan kontroversi turut mendapat kecaman bertalu-talu daripada netizen apabila tampil dengan tarian agak keterlaluan dan tidak bersesuaian dengan sambutan Aidilfitri. – KOSMO! ONLINE