SHAH ALAM – “Bukan saya tularkan video itu”.
Demikian tegas Puan Sri Elly Afizahwati Abdul Jalil berhubung penularan tiga video pergaduhan bersama suaminya Tan Sri Musa Hassan di laman sosial baru-baru ini.
Kata Elly Afizahwati, dia tidak berniat untuk menjadikan rakaman itu viral apatah lagi untuk menjatuhkan reputasi mana-mana pihak.
“Saya telah dipanggil untuk diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur berikutan laporan polis yang dibuat oleh peguam Musa terhadap saya. Saya turut buat laporan polis berkaitan perbuatan Musa yang memukul saya semasa insiden pergaduhan tersebut.
“Telefon bimbit mengandungi video tersebut telah diserahkan kepada polis. Saya tidak pasti sama ada (tular) sebab orang dalaman,” katanya ketika ditemui selepas memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Syariah Shah Alam, hari ini.
Jelasnya, dia terkejut apabila mengetahui video tular buat pertama kali menerusi aplikasi TikTok selepas dimaklumkan oleh adiknya sendiri sebelum ini.
“Saya kecam individu yang bertindak menularkan video tersebut di media sosial. Penyebaran rakaman video tersebut telah mendedahkan wajah anak saya yang masih kecil,” ujarnya.
Elly Afizahwati menegaskan rakaman itu dibuat sebenarnya bagi melindungi dirinya dan bukti di Mahkamah Syariah nanti susulan Musa meminta harta atas nama saya dibahagikan kepadanya.
“Itu memang saya tidak setuju sebab saya mahu wariskan rumah itu kepada anak tunggal saya. Rumah itu saya beli sebelum berkahwin dengan dia. Tuntutan lain juga dia tidak benarkan saya kahwin lain (lepas bercerai),” katanya.
Baru-baru ini, tular di media sosial berhubung tiga klip video dimuat naik pengguna Twitter memaparkan pertelingkahan antara sepasang suami isteri yang turut disaksikan seorang kanak-kanak. – KOSMO!ONLINE