PETALING JAYA – Seorang pengawal keselamatan diberkas polis akibat menyamun rantai emas milik seorang pemandu peribadi untuk membeli ‘cover set’ motosikal dalam kejadian di Jalan Tasek Tambahan, Ampang, pada Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata ketika kejadian pada pukul 12.40 tengah malam, mangsa memandu kereta jenis BMW dan sengaja dihimpit oleh seorang pemandu motosikal jenis Honda EX5.
Menurut beliau, pemandu yang berusia 54 tahun itu menurunkan cermin kereta kerana khuatir dipecahkan oleh suspek yang menumbuk berkali-kali.
“Suspek terus meludah ke arah mangsa dan menarik kolar baju serta rantai emas bernilai RM3,000 sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sehubungan itu, seorang lelaki berusia 30 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ditahan oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang pada hari yang sama kira-kira pukul 9.45 malam.
Mohamad Farouk berkata, siasatan mendapati suspek menjual barang emas tersebut di kedai pajak dalam daerah tersebut sebelum membeli aksesori ‘cover set’ yang dipasang pada motosikalnya.
Katanya, antara barang yang dirampas adalah pakaian, helmet, dokumen resit pajak gadai, seutas rantai emas, alat kawalan jauh dan sebuah motosikal digunakan semasa kejadian.
“Suspek mempunyai satu rekod lampau jenayah manakala ujian air kencing adalah negatif dadah. Kes disiasat bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan serta reman dibenarkan selama tujuh hari bermula semalam,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE