fbpx

Penduduk dunia diramal cecah 8.8 bilion pada 2050

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai melintas jalan di Shibuya Crossing, Tokyo, Jepun pada 8 Mac 2023. - AFP

OSLO, NORWAY – Satu kajian baharu mendedahkan bahawa populasi global dijangka mencecah paras kemuncak iaitu hampir sembilan bilion orang pada 2050 sebelum mula merosot, lapor akhbar Metro UK kelmarin.

Kajian dijalankan inisiatif bukan berasaskan keuntungan digelar Earth4All itu menggunakan satu model baharu bagi mengkaji dua senario yang mungkin berlaku dalam abad ini. Jangkaan tersebut juga lebih rendah berbanding ramalan beberapa agensi lain termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut kajian berkenaan, dalam senario pertama, sekiranya ekonomi dunia meneruskan trajektori serupa seperti 50 tahun lalu, kebanyakan negara miskin dapat membebaskan diri daripada kemiskinan tegar.

Dalam masa sama, populasi dunia akan mencapai 8.8 bilion menjelang pertengahan abad ini sebelum merosot kepada 7.3 bilion pada 2100.

Bagi senario kedua pula, jika dunia mengambil ‘lonjakan besar-besaran’ dalam pelaburan pembangunan ekonomi, pendidikan dan kesihatan, populasi global diramal mencecah 8.5 bilion menjelang 2040 sebelum berkurang menjadi enam bilion menjelang akhir abad ini.

Bagi situasi tersebut, kemiskinan tegar akan dihapuskan dalam satu generasi menjelang 2060.

Dalam tempoh kurang 50 tahun, jumlah penduduk dunia berganda menjadi empat bilion menjelang 1975 sebelum sekali lagi meningkat dua kali ganda iaitu mencecah lapan bilion pada November tahun lalu.

Keadaan itu mencetuskan kebimbangan bahawa populasi global mungkin melonjak dua kali ganda sekali lagi menjadi 16 bilion orang.

“Jawapannya adalah tidak. Populasi global tidak akan mendekati tahap itu disebabkan perubahan paradigma dalam demografi sepanjang 50 tahun lalu,” kata ketua projek Earth4All, Beniamino Callegari.

Tambah Callegari, kadar pertumbuhan populasi mencapai kemuncak pada 1960-an dan berkurang dengan stabil sejak itu.

“Wanita di seluruh dunia memilih untuk mempunyai anak yang sedikit selain purata kadar kesuburan global juga kini hanya lebih dua anak untuk setiap wanita,” jelasnya.

Tambah Callegari, meskipun bilangan anak bagi setiap wanita adalah kurang daripada dua di negara-negara seperti Jerman dan Jepun, ia lebih tinggi di kebanyakan negara berpendapatan rendah dan miskin.

PBB sebelum ini meramalkan populasi global bakal mencecah 10 hingga 11 bilion bagi abad ini sebelum mula merosot secara perlahan-lahan.

Namun, berdasarkan ramalan baharu itu, bilangan penduduk dunia akan mencapai kemuncak pada paras lebih rendah dan lebih cepat berbanding jangkaan sebelum ini. 

Justeru, sekiranya seluruh dunia membuat pelaburan lebih dalam pembangunan ekonomi, pendidikan dan kesihatan, populasi global boleh mencapai paras di mana semua penduduk Bumi boleh mendapatkan akses mampan kepada tenaga, perlindungan, makanan dan air. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI