PETALING JAYA – Usul yang dibawa Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa untuk mengambil pekerja kontrak secara tetap, tetapi tanpa pencen nampaknya tidak dipersetujui orang ramai.
Melalui satu hantaran di laman sosial Facebook Kementerian Kesihatan (KKM) sebentar tadi, orang ramai seakan tidak bersetuju dengan usul yang dibawa oleh kementerian itu walaupun pada dasarnya adalah satu perkara yang baik.
Menerusi hantaran tersebut yang berkongsi kenyataan Menteri Kesihatan di Dewan Negara hari ini, menjelaskan pihak kerajaan ketika ini sedang menanggung beban skim pencen yang mencecah RM29.1 bilion pada 2021.
“Kita sedar beban skim berpencen ditanggung negara ketika ini yang mencecah RM29.1 bilion pada 2021, merupakan beban yang sangat tinggi dan mungkin akan terus meningkat.
“Salah satu cara bagi menangani bebanan tugas yang melebihi kapasiti sumber sedia ada serta untuk mengurangkan beban skim berpencen ditanggung negara ketika ini adalah dengan mengusulkan untuk mengambil pekerja kontrak secara tetap tetapi tanpa pencen, namun mereka ini boleh mendapat manfaat yang sama seperti pekerja tetap yang lain,” jelas Zaliha.
Rata-rata orang ramai menganggap cadangan tersebut adalah karut dan berpendapat orang yang memilih untuk bekerja di sektor kerajaan adalah kerana skim berpencen yang disediakan.
“Kalau para menteri macam mana. Alangkah baiknya kalau menteri pun potong juga pencen. Dapat perintah berapa penggal je dah dapat pencen berbanding penjawat awam lain yang kerja berpuluh tahun.
“Sebab para menteri la yang paling banyak dapat elaun-elaun dan pencen ni. Dekat situ dah berapa banyak boleh jimat,” tulis Aeman Rahimi.
“Mansuhkan semua skim pencen termasuk pencen menteri-menteri, MP entah siapa-siapa berkait politik, kasi mansuh semua. Jangan hanya kaji dan lapar pencen, untuk orang lain semua nak dimansuhkan,” kata MJ Yuhanis. – KOSMO! ONLINE