fbpx

Messi ledak jaringan ke-100 antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MESSI berjaya meledak hatrik dalam masa 17 minit untuk mengumpul 100 gol di peringkat antarabangsa bersama Argentina. – AFP

SANTIAGO DEL ESTERO – Kap­ten Argentina, Lionel Messi meledak gol ke-100 di peringkat antarabangsa ketika membantu juara dunia itu membelasah lawan kerdil, Curacao 7-0 pada aksi persahabatan antarabangsa semalam.

Lebih menarik, bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu hanya mengambil masa 17 minit untuk merakam hatrik dalam separuh masa pertama pada aksi yang berlangsung di Stadium Santiago del Estero itu.

Tiga gol Messi, 36, dalam aksi itu diperoleh pada minit ke-20, 33 dan 37 untuk merekodkan hatrik ketujuh peribadinya bersama La Albiceleste sejak membuat debut antarabangsa pada 2005.

Kali pertama pemenang tujuh Ballon d’Or itu menjaringkan gol bersama Argentina adalah ketika tewas 2-3 kepada Croatia pada Mac 2006.

“Satu perlawanan yang sangat menghiburkan. Saya berharap kami dan para penyokong dapat terus berkongsi detik-detik hebat seperti ini dengan harapan ia tidak akan berakhir,” kata Messi.

Sebagai rekod, Messi kini kekal menduduki tempat ketiga dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman di belakang seteru utama, Cristiano Ronaldo dari Portugal dengan 122 gol dan legenda Iran, Ali Daei 109 gol.

Selain tiga gol Messi, empat lagi jaringan Argentina ke atas Curacao semalam diperoleh menerusi Nicolas Gonzalez pada minit ke-23, Enzo Fernandez (m-35), Angel Di Maria (m-78) dan Gonzalo Montiel (m-87).

Ia adalah kemenangan kedua buat skuad bimbingan Lionel Scaloni itu sejak menjulang Piala Dunia di Qatar hujung tahun lalu selepas mengatasi Panama 2-0 di Estadio Monumental, Buenos Aires pada Jumaat lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI