SAO PAOLO, BRAZIL – Seorang lelaki di Brazil yang menarik perhatian ramai kerana memiliki enam isteri mendedahkan rancangannya untuk memiliki anak dengan setiap seorang daripada pasangannya menerusi kaedah ibu tumpang, lapor portal berita MailOnline semalam.
Arthur O Urso, 37, sebelum ini mempunyai sembilan isteri, namun dia menceraikan tiga daripada mereka tahun lalu.
Menurut lelaki tersebut, dia mahu menambah lagi bilangan ahli keluarganya dengan cara mendapatkan anak. Dia mahu menggunakan kaedah ibu tumpang supaya tiada seorang pun isterinya yang berkecil hati.
“Saya tidak mahu mengecewakan isteri-isteri saya dengan memilih salah seorang daripada mereka untuk hamil terlebih dahulu. Jadi, kami membuat keputusan untuk menggunakan khidmat ibu tumpang,” katanya.
Arthur yang kini mempunyai seorang anak perempuan berusia 10 tahun hasil daripada hubungan terdahulu turut mengakui bahawa dia tidak pernah merasai pengalaman seperti sekarang.
“Kami cemas, namun pada masa yang sama teruja untuk menjadikan impian memiliki anak ini satu kenyataan,” katanya.
Tambah Arthur, buat masa ini, dia sedang mencari wanita yang sanggup menjadi ibu tumpang serta mahukan seseorang yang boleh memberi keyakinan kepada mereka sekeluarga.
Dia juga sanggup berbelanja sehingga AS$40,798 (RM180,557) dalam proses tersebut, namun mengakui turut terbuka kepada idea untuk mengambil anak angkat pada masa hadapan. – Agensi