PETALING JAYA – Penduduk yang berada dalam radius 2.5 hingga 3 kilometer dari Hab Rangkaian Gentian Optik Point of Presence (PoP) Zon Utara di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Terap, Kuala Nerang, kini mampu menikmati perkhidmatan Internet Jalur Lebar Talian Tetap (JLTT).
Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, penyediaan infrastruktur gentian optik di kawasan sekitar sekolah itu bukan sahaja mengurangkan kesenjangan digital penduduk setempat, malah membantu proses pembelajaran.
Selain itu katanya, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan mereka menjadi pengguna bijak dan bertanggungjawab.
“Saya turut mengumumkan Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap (Home Internet) yang menawarkan perkhidmatan dengan kelajuan sehingga 30 Mbps dan data tanpa had berharga hanya RM69 sebulan.
“Pakej ini diharap dapat membantu golongan B40, veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM), pesara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Orang Kurang Upaya (OKU) serta warga emas.
“Inisiatif KKD dengan kerjasama syarikat penyedia perkhidmatan iaitu Telekom Malaysia (TM), CelcomDigi, Maxis dan YTL ini selari dengan konsep ihsan Malaysia Madani,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menurutnya lagi, beliau turut berpuas hati dengan usaha Pusat Ekonomi Digital (Pedi) RP Seberang Terus, Alor Setar dalam membantu masyarakat menerusi aktiviti berteraskan ekonomi digital.
“Pedi akan terus memastikan transformasi ekonomi digital dapat dijayakan mencakupi pelbagai latihan berasaskan teknologi maklumat.
“KKD komited dalam memastikan kesalinghubungan digital yang merupakan keperluan asas rakyat untuk terus diperkasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE