PETALING JAYA – Mempunyai masalah penghadaman, perubahan tabiat ketika membuang air besar dan darah di najis, merupakan tiga tanda awal kanser kolon (usus).
Sempena bulan kesedaran kanser kolon (usus), pakar kesihatan, Dr. Malar berkata, tanda-tanda awal kanser ini sering sahaja diketepikan oleh masyarakat kerana disangkakan penyakit biasa.
Katanya, perut senak, susah buang angin dan tiba-tiba cirit atau sembelit boleh terjadi kepada individu yang berkemungkinan mempunyai kanser usus disebabkan sel kanser yang telah menghalang saluran usus besar.
“Tanda-tanda awal kanser kolon ini boleh dikenal pasti dengan pemerhatian sendiri sebelum membuat pemeriksaan yang lebih lanjut di Klinik Kesihatan seluruh Malaysia.
“Cara yang paling baik bagi mengenal pasti kanser kolon daripada awal lagi adalah dengan melakukan analisis najis di makmal,” katanya.
Menurutnya, analisis itu dikenali sebagai Mmunochemical Fecal Occult Blood test (iFOBT) dan fungsinya adalah untuk mengesan sel darah di dalam najis melalui pemerhatian di bawah mikroskop.
Tambahnya, kanser kolon ini merupakan kanser yang paling tinggi berlaku di kalangan lelaki dan kedua tertinggi dalam kalangan wanita di Malaysia. – KOSMO! ONLINE