PETALING JAYA – Dipukul, diherdik dan dihina. Itu yang dilalui seorang wanita yang nekad mahu membebaskan diri daripada suami durjana.
Kisah sedih itu dikongsi peguam syarie, Nor Asyikin di akaun Facebook miliknya semalam hasil konsultasinya bersama wanita terbabit.
Nor Asyikin berkata, wanita terbabit dikatakan sudah tidak tahan dengan suaminya yang memperlakukan dirinya seperti ‘punching bag’.
“Boleh dikatakan setiap bulan pasti si isteri akan menjadi ‘punching bag’. Dipukul dengan besi sehingga kepala berdarah, ditumbuk, ditendang, ditampar dan sebagainya,” kata beliau.
Tidak cukup dengan itu, sang suami bertindak lebih kejam apabila tetap naik tangan terhadap isteri yang sedang mengandung dan berpantang hanya kerana lelaki tersebut lapar, penat atau tidak mendapat rehat yang secukupnya.
Bukan sahaja membuat emosi wanita tersebut terganggu, malah dia turut menyebabkan anak mereka trauma disebabkan melihat ibu mereka kerap dipukul bapa sendiri.
“Akibat terlalu kerap dipukul, dimaki dan dihina persekitaran perkahwinan yang dibina belasan tahun ini sudah lagi tiada ketenangan dan kemanisan,” katanya.
Nor Asyikin menasihati wanita-wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga perlu mengambil beberapa langkah ini supaya dapat membebaskan diri mereka daripada belenggu rumah tangga yang berpanjangan.
Mangsa dinasihati keluar dari rumah terlebih dahulu dan melaporkan kepada pihak polis atau memfailkan fail injuksi (tegahan) di Mahkamah Tinggi Syariah.
Sejurus itu, mangsa perlu melaporkan kes ini kepada talian Nur.
“Mangsa juga dinasihati untuk memfailkan perintah perlindungan interim di Jabatan Kebajikan Masyarakat atau perlindungan kecemasan di Mahkamah Sivil.
“Sekiranya dia ingkar, dia boleh dihumban ke dalam lokap,” katanya. – KOSMO! ONLINE