LONDON – Satu laporan baharu meramalkan bahawa penggunaan pasport di lapangan terbang akan digantikan dengan imbasan degupan jantung dan butiran biometrik orang ramai menjelang 2070, lapor laman berita Wion News.
Laporan bertajuk The easyJet 2070: The Future Travel Report yang dikelola oleh syarikat penerbangan EasyJet itu ditulis oleh beberapa pakar.
“Menjelang 2070, destinasi yang kita kunjungi, jenis penginapan dan pengalaman yang dimiliki akan berubah dengan ketara,” kata salah seorang pengarang, Profesor Birgitte Andersen dari Kolej Birkbeck, Universiti London.
EasyJet dalam laporannya menjelaskan bahawa sama seperti retina dan cap jari, isyarat jantung individu juga unik.
“Isyarat degupan jantung penumpang dan butiran biometrik mereka akan dimasukkan ke dalam sistem global dengan cara sama teknologi pengimbasan cap jari berfungsi pada hari ini,” katanya.
Laporan itu meramalkan bahawa bas ulang-alik yang membawa penumpang di landasan akan digantikan dengan teksi udara e-VTOL. Hiburan dalam penerbangan pula akan dipancarkan terus ke mata penumpang.
EasyJet meramalkan bahawa makanan dalam pesawat akan disediakan berkonsep bufet hotel yang perlu dicetak sendiri dalam bentuk tiga dimensi (3D). Ia akan membantu mengurangkan sisa makanan.
Pada masa hadapan, pelancong diramal berkeupayaan untuk mencetak pakaian yang boleh dikitar semula semasa tiba di hotel. – Agensi