fbpx

FMOW sasar sumbang 10,000 pek makanan sepanjang Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosli (dua dari kiri) bersama Ahmad Tajuddin (kiri) menunjukkan kicap jenama Mahsuri yang akan disumbangkan dalam program FMOW sekitar Kuala Lumpur dan Selangor di Putrajaya semalam. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA / KOSMO!

PUTRAJAYA – Free Meals On Wheels (FMOW) iaitu sebuah inisiatif di bawah Yayasan Budi Ihsan Malaysia (YBIM) menyasarkan sumbangan kira-kira 10,000 pek juadah berbuka puasa kepada golongan fakir miskin dan asnaf yang terlantar serta anak yatim sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

Pengasas dan Pengerusi YBIM, Datuk Rosli Atan berkata, pek makanan tersebut akan diagihkan menggunakan dua buah food truck khas meliputi lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti di Selangor dan Kuala Lumpur.

Menurut beliau, pihaknya telah menyalurkan lebih 100,000 pek makanan sejak program tersebut diwujudkan pada tahun 2020 ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

“Sasaran pada masa akan datang adalah inisiatif FMOW dapat bergerak di seluruh negara dengan sebuah food truck bagi setiap negeri untuk kita capai lebih ramai golongan yang benar-benar memerlukan.

“Oleh itu, kita pelawa lebih ramai syarikat-syarikat korporat atau penaja yang ingin bersama-sama YBIM dalam usaha FMOW,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Ibu Pejabat YBIM di sini hari ini.

Program FMOW merupakan inisatif penyediaan juadah berbuka kepada golongan fakir miskin serta asnaf yang terlantar dan terbatas pergerakan selain golongan sasar seperti rumah anak yatim dan warga tua.

Sempena bulan Ramadan kali ini, YBIM telah berganding bahu bersama Mahsuri Dagang Sdn. Bhd. iaitu syarikat pengeluar kicap dan sos serbaguna tempatan untuk menjayakan program FMOW.

Pengarah Bukan Eksekutif Mahsuri Dagang Sdn Bhd, Datuk Ahmad Tajuddin Idris berkata, sebanyak 600 botol Kicap Lemak Manis Mahsuri disumbangkan dalam program kali ini sebagai pelengkap ramuan penyediaan makanan.

“Selain bersama-sama YBIM, kita turut menjalin kerjasama dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menjayakan tanggungjawab sosial korporat sepanjang bulan Ramadan untuk menyampaikan semula kepada masyarakat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI