fbpx

Dua kali salam bapa sebelum maut kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOR Kamar Hisham menunjukkan gambarnya bersama Mimi Nurwaheeda yang maut dalam kemalangan di Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, semalam.

TANJUNG MALIM – Bapa kepada salah seorang mangsa kemalangan di Kilometer 121, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Kampung Kelawar di sini kelmarin tidak menyangka huluran salam anak bongsunya adalah sentuhan terakhir mereka.

Nor Kamar Hisham Omar, 48, berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya, Mimi Nurwaheeda dan anak saudara, Nur Nabila Rosdi ketika dua remaja terbabit datang bertemunya di sebuah kedai makan di Hulu Bernam.

“Dua kali adik (Mimi Nurwaheeda) dan Nabila datang ke kedai, malah setiap kali singgah itulah adik hulur tangan untuk bersalam dengan saya sebelum mereka beredar.

“Ketika itu, mereka hanya biasa-biasa sahaja. Saya ada bertanya, mereka mahu ke mana, tetapi mereka hanya diam sahaja,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Slim River di sini hari ini.

Menurut Nor Kamar Hisham, sebelum kejadian tersebut, Mimi Nurwaheeda ada menyatakan hasrat untuk membeli baju raya secara dalam talian.

“Dia beritahu mahu beli ‘online’ baju raya tapi saya tegurlah yang bajukan banyak, lagipun harganya mahal. Dia beritahu harganya dalam RM80.

“Tapi itulah, anak lagipun yang bongsu dan memang rapat dengan saya. Saya tidak sampai hati pun (bantah), cuma mulut saja cakap. Memang saya mahu ‘transferkan’ duit dalam akaun bank adik untuk dia beli, tapi nak buat macam mana, ini pula terjadi,” katanya.

Bapa kepada tiga anak itu memberitahu, dia bergegas ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan rakannya yang anaknya itu terlibat dalam kemalangan jalan raya.

“Semasa sampai, saya lihat Nabila masih bernyawa dan dia mengerang kesakitan. Pada mulanya saya sangkakan Nabila itu adalah adik tapi apabila lihat lebih dekat rupanya bukan.

“Ada orang awam di situ minta saya tengok yang seorang lagi, apabila saya berada dekat dengan jasad itu, saya tahu itu anak saya dan dia telah pun tiada,” katanya.

Dalam pada itu, sukarelawan polis itu turut melahirkan rasa terkilan apabila pemandu lori tangki terlibat melarikan diri selepas menggilis anaknya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI