PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menyerap kakitangan perubatan kontrak kepada jawatan tetap tanpa pencen.
Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, perbincangan itu dibuat bagi menangani beban kerja yang melebihi kapasiti sedia ada selain mengurangkan beban skim pencen yang ditanggung negara.
“KKM mengambil serius perkara berkenaan doktor kontrak sama ada untuk meningkatkan atau mengambil doktor-doktor atau petugas kesihatan ini masuk ke dalam sistem perkhidmatan yang tetap.
“Tetapi, juga saya ingin menekankan perkara itu tidak hanya terletak beban di atas KKM, kita sentiasa menjalankan perbincangan dan libat urus dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan juga Kementerian Kewangan.
“Jadi, ada beberapa yang mungkin kita boleh pertimbangkan yang kita sedang bawa untuk dipertimbangkan oleh JPA ialah kita sedar tentang beban kerajaan yang berdepan dengan beban skim pencen,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Jefridin Atan yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan apakah tindakan KKM dalam menambah baik budaya kerja perkhidmatan kesihatan terutamanya yang melibatkan waktu kerja yang panjang sekali gus mengakibatkan petugas kesihatan mengalami tekanan kerja.
Zaliha berkata, pada tahun 2011, beban negara terhadap skim pencen tersebut ialah sebanyak RM3.6 bilion dan meningkat kepada RM29.1 bilion pada tahun 2021.
“Itu beban yang sangat tinggi kepada negara dan mungkin akan meningkat lagi. Jadi, kita mungkin perlu memikirkan jalan keluar, kita telah mengusulkan juga contohnya ialah mengambil pekerja-pekerja kontrak ini secara tetap, tetapi tidak berpencen.
“Ini adalah antara satu perkara yang mungkin kita boleh fikirkan sebab dengan keadaan begitu petugas kita ada kelebihannya seperti boleh membuat pinjaman rumah dan sebagainya,” jelasnya.
Sementara itu, Zaliha memaklumkan KKM sedang berdepan peningkatan jumlah pesakit dalam dan luar sehingga menyebabkan kesesakan di hospital susulan peningkatan kes penyakit tidak berjangkit (NCD).
“Bagi mengurangkan kesesakan di hospital, kita telah melaksanakan projek perintis diketuai Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) yang turut ditubuhkan bawah seliaan Ketua Setiausaha Negara.
“KKM turut mempergiatkan usaha pendigitalan bagi mengurangkan beban kerja anggota KKM, selain melaksanakan amalan penjadualan yang dapat membantu memastikan petugas kesihatan mempunyai masa rehat yang cukup antara syif,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE