PETALING JAYA – Sejumlah 2,451 kes nombor pendaftaran palsu berjaya dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi tempoh 2019 hingga Februari 2023.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, semua kenderaan terbabit juga telah disita melalui proses undang-undang sedia ada.
“Dalam konteks penguatkuasaan JPJ, pemantauan bagi pematuhan peraturan penggunaan nombor pendaftaran kenderaan berdaftar yang tidak menepati spesifikasi seperti ukuran saiz, material termasuk nombor pendaftaran palsu telah dilakukan secara konsisten.
“Pemantauan itu juga dibuat melalui aduan, Sekatan Jalan Raya (SJR) serta tindakan operasi rutin di bawah Pelan Strategik Tindakan Penguatkuasaan (PSTP) JPJ,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Datuk Noraini Idris yang meminta Menteri Pengangkutan menyatakan bentuk-bentuk pemantauan yang sedang difokuskan oleh JPJ terhadap salah laku pemalsuan plat pendaftaran kenderaan terutamanya di negeri Sabah.
Hasbi berkata, daripada 2,451 kes yang dikesan tersebut, hanya sejumlah 76 kes nombor pendaftaran palsu sahaja dikesan di negeri Sabah.
“Nombor pendaftaran palsu berkenaan juga tidak berkaitan dengan pemalsuan bagi tujuan untuk membawa masuk pendatang tanpa izin secara bebas,” katanya.
Selain itu, Hasbi memaklumkan bagi pengesanan kes manipulasi oleh pihak sindiket yang antara lain bertujuan untuk membawa masuk pendatang asing, JPJ juga telah membantu dengan menjalan penguatkuasaan khas terhadap warga asing melalui operasi Ops PeWA iaitu operasi pemandu warga asing.
“Operasi tersebut fokusnya adalah kepada kesalahan tiada lesen memandu, tiada lesen kenderaan dan insurans serta kesalahan teknikal kenderaan.
“Bagi tempoh 2021 hingga Februari 2023 sejumlah 207 operasi terhadap warga asing telah dilaksanakan dan sejumlah 99,000 saman telah dikeluarkan atas operasi kesalahan terhadap mereka di seluruh negara,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE