JAKARTA – Seorang warga emas berusia 61 tahun diserang seekor buaya ketika hendak mandi di dalam parit di sekitar rumahnya di Jambi, Indonesia, lapor laman berita IMCNews.
Kaki kanan Nurung dibaham seekor buaya ketika dia masuk ke dalam parit yang terletak sekitar 10 meter dari rumahnya.
“Buaya itu menyeret mangsa ke dasar parit. Ketika diseret ke dalam air, mangsa menendang kepala buaya itu menggunakan kaki kiri untuk melepaskan gigitannya,” kata seorang penduduk bernama Jamal.
Selepas kaki kanannya dilepaskan, mangsa naik ke darat dan menjerit meminta tolong. Penduduk kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk menghulurkan bantuan.
“Melihat keadaan mangsa yang mengalami luka parah di kaki, penduduk menghubungi pegawai perubatan tempatan untuk membantu merawat luka mangsa,” tambah Jamal.
Akibat serangan buaya itu, mangsa mengalami luka koyak di kaki kanan dan memerlukan 76 jahitan.
“Kami tidak tahu secara tepat berapa besar buaya itu. Ketika ini, mangsa masih terkejut akibat kejadian itu. Kami harap pihak berkuasa dapat menangkap atau menghalau buaya liar itu dari kawasan penduduk,” jelas Jamal. – Agensi