fbpx

423 diberkas main judi ‘online’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN daripada individu yang ditahan sepanjang Op Dadu Khas dijalankan di seluruh negeri Johor sejak awal tahun ini.

JOHOR BAHRU – Seramai 423 individu ditahan dalam Op Dadu Khas yang memberi tumpuan kepada judi dalam talian dijalankan di seluruh negeri ini sejak awal tahun hingga semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua individu yang ditahan itu berusia lingkungan 17 hingga 60 tahun.

Beliau berkata, sasaran serbuan adalah di premis-premis yang terlibat dengan kegiatan tersebut di seluruh Johor.

Katanya, selain daripada melakukan serbuan, tindakan pemotongan bekalan elektrik dan pembatalan lesen ke atas premis-premis yang terlibat turut dilakukan.

“Dalam operasi yang dijalankan, sebanyak 406 premis telah diserbu dan diperiksa. Hasil serbuan itu, seramai 423 orang telah ditangkap, 415 daripadanya adalah penjaga premis perjudian manakala lapan lagi adalah kaki judi.

“Hasil serbuan itu, polis turut merampas 451 unit telefon bimbit pelbagai jenama, tujuh unit tablet, empat komputer riba dan wang tunai berjumlah RM59,143,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarul Zaman memberitahu, sebanyak 40 buah premis telah mendapat kelulusan dan diambil tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Selain itu, katanya, sebanyak 13 buah premis yang telah mendapat kelulusan pembatalan lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) manakala empat buah premis dalam proses permohonan.

“Pada tahun lalu, sebanyak 1,003 serbuan telah dilancarkan dengan jumlah tangkapan 1,080 orang yang terdiri daripada 1,012 penjaga premis dan 68 pemain yang berusia lingkungan 17 hingga 60 tahun.

“Polis turut merampas 1,145 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 17 unit tablet, 44 mesin PHK dan wang tunai berjumlah RM202,044,” katanya.

Tambahnya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana menjaga atau mengurus atau membantu tempat perjudian terbuka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI