PUTRAJAYA – Tata kelola baik terutama dalam menentang budaya rasuah disifatkan sebagai satu tuntutan Islam dalam mentadbir negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagaimanapun, soal itu seperti diremehkan oleh sesetengah termasuk ‘mengizinkan’ rasuah jika ia dikategorikan sebagai sedekah.
Katanya, pandangan seumpama itu amat mengelirukan sedangkan perbuatan buruk rasuah tidak ada kesamaran.
“Maknanya tidak boleh kelirukan (rasuah), ia tidak samar dan jelas untuk kelangsungan kita menyelamatkan negara serta menaikkan imej umat Islam. Ia kena mula dengan sikap jelas tentang tata kelola baik.
“Semua boleh berpuasa, tapi kalau tak mampu lahirkan umat yang baik, maka ia tidak ada signifikan Ramadan. Selama 45 tahun tidak pernah tinggal puasa, umrah tiap tahun tak pernah terlepas, tetapi curi duit rakyat, hak orang miskin terabai, maknanya penghayatan tidak ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ihya Ramadan di Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut menggesa semua jabatan, agensi dan kementerian untuk mengadakan program Ihya Ramadan secara serius sekali pun ia memerlukan satu surat pekeliling khas dikeluarkan bagi tujuan itu.
Katanya, program berbentuk tazkirah Ramadan, mencadangkan tajuk-tajuk bersesuaian dan beberapa risalah boleh diterbitkan supaya semua dapat membaca, amal dan menghayati selain al-Quran. – KOSMO! ONLINE