PETALING JAYA – Ketika pergolakan rumah tangga beberapa pasangan popular menjadi sorotan, nama penyanyi yang kini aktif sebagai aktivis kemanusiaan, Mizz Nina meraih pujian ramai termasuk pengarah, Shahrulezad Mohameddin.
Pemilik Radius One itu berkata, penyanyi tersebut sebagai wanita bijaksana dalam menyelesaikan hal dalaman rumah tangga tanpa perlu mengaibkan bekas suami atau memalukan diri sendiri.
Katanya, orang luar langsung tidak dapat memperkatakan isu perceraian penyanyi itu sehingga mampu mengelakkan masyarakat terpalit dosa.
“Mizz Nina juga yang ada kelas. Senyap-senyap dia dapat apa yang dia mahukan tanpa melondehkan aib masing-masing di depan kita semua.
“Tahu-tahu selesai dan ‘move on’. Dan kita pun tak berdosa kepoh sama,” katanya menerusi perkongsian dalam laman sosial.
Sebelum ini, khalayak juga memuji pemilik nama sebenar Shazrina Azman, 43, itu yang dilihat tidak mencetuskan sebarang provokasi sepanjang khabar perpisahannya dengan vokalis Hujan, Noh Salleh diperkatakan sekitar pertengahan tahun lalu.
Sah bercerai pada Ogos 2022 selepas 11 tahun berumah tangga, Mizz Nina juga tidak pernah memberikan maklum balas berhubung perceraian yang dilalui, sebaliknya hanya berkongsi momen dengan anak angkat mereka, Musa.
Sementara itu, menerusi komen ditinggalkan dalam hantaran Shahrulezad, rata-rata bersetuju dengan pandangan pengarah drama Takdir Yang Tertulis itu mengenai keperibadian usahawan wanita berkenaan.
“Beza orang ada ilmu dan tiada ilmu abangku,” kata seorang pengikut.
“Dari situ boleh tahu orang ada ilmu atau tidak,” ulas pemilik akaun lain.
“Dia memang yang terbaik. Apabila ilmu agama dipraktikkan dengan sebenar-benarnya,” komen seorang lagi netizen. – KOSMO! ONLINE