PETALING JAYA – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay menafikan akaun yang mempunyai lebih 50,000 pengikut di TikTok adalah miliknya.
Akaun menggunakan nama @datukayub8 itu memuat naik pelbagai gambar dan video berkaitan Ayob Khan yang menyarung pakaian uniform.
Ayob Khan ketika dihubungi mengesahkan beliau telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada pukul 4.40 petang tadi berhubung kewujudan akaun palsu tersebut.
“Akaun itu bukan milik saya dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan akaun TikTok tersebut. Laporan polis dibuat untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, JSJN di akaun Facebooknya mengingatkan agar orang ramai tidak terpedaya dengan akaun palsu tersebut. – KOSMO! ONLINE