SHAH ALAM – “Afiq (suami) langsung tidak beri kerjasama sepenuhnya.”
Itu penjelasan isteri kepada pelakon, Afiq Muiz, Pachara Apin berhubung tuntutan perceraian yang difailkan terhadap suaminya.
Pachara atau nama Islamnya Nur Aaira Mahadeya, 32, ketika ditemui Kosmo! Online memberitahu, kehadirannya ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari hari ini adalah untuk mengemukakan permohonan tuntutan cerai secara fasakh ke atas suaminya selepas lelaki itu gagal dijejaki.
Ujar wanita asal Ranau, Sabah itu lagi, hakikatnya Afiq sebenarnya tahu tentang tuntutan fasakh yang difailkan hari ini, namun enggan memberikan kerjasama.
“Afiq tahu tentang tuntutan cerai secara fasakh hari ini, tapi dia tidak beri kerjasama,” kata Pacahara ketika ditemui di perkarangan mahkamah.
Ketika disoal tentang dakwaan dirinya pernah dikasari Afiq seperti yang dinyatakan dalam Facebook dan TikTok pada tahun lalu, Pachara yang juga merupakan seorang pelakon tetap mempertahankan dirinya bercakap benar dan bukannya fitnah seperti yang didakwa suaminya.
“Sebelum ini dia ada buat laporan polis yang mengatakan saya membuat fitnah. Tapi saya tak fitnah pun.
“Saya tak ada benda nak cakap (komen). Mengenai bukti (dikasari), saya rasa semua orang nampak, lagipun kita sedang berpuasa. Sebelum ini pun saya yang banyak bercakap,” ujarnya.
Sementara itu, peguamnya, Suriati Ab. Ghani ketika ditemui media memberitahu anak guamnya selaku plaintif telah memfailkan penceraian secara baik pada 26 Ogos tahun lalu.
Bagaimanapun, Afiq atau nama lengkapnya Muhammad Afiq Muiz Azman Shah tidak pernah hadir ke mahkamah untuk memberi kerjasama sehingga anak guamnya terpaksa membuat permohonan cerai menerusi tuntutan fasakh pada Oktober 2022.
“Afiq tidak pernah memberikan kerjasama dan tidak dapat dihubungi. Sebab itu anak guam saya memfailkan perceraian secara fasakh,” jelasnya.
Fasakh bermaksud pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu perkara yang diharuskan oleh hukum Syarak.
Antara perkara-perkara yang mengharuskan fasakh ialah apabila suami atau isteri tidak diketahui di mana mereka berada selama tempoh lebih dari satu tahun.
Tambahnya, Mahkamah kemudian menetapkan 6 April ini bagi prosiding seterusnya.
Sebelum ini, Pachara dalam satu pendedahannya memberitahu Afiq pernah mengasarinya sehingga membuatkan kaki serta jarinya patah.
Kenyataan tersebut kemudiannya meraih komen balas adik Afiq iaitu pelakon, Aishah Azman yang bengang dengan tindakan Pachara membuat kenyataan palsu dalam media sosial.
Tidak menunggu lama, Afiq kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Dengkil pada 30 November tahun lalu bagi membersihkan nama selepas mendakwa difitnah.
Terdahulu, Afiq mendirikan rumah tangga dengan Pachara pada 27 Mac 2019 selepas setahun berkenalan di set penggambaran drama Air Mata Syurga. – KOSMO! ONLINE