KOTA BHARU – Penolong Jurulatih dan Penganalisis Video Kelantan FC, Pol Corpas Cuatrecasas atau nama baharunya, Abu Bakar tidak terbeban dengan ibadah puasa pada bulan Ramadan walaupun baru pertama kali melaluinya.
Menurut Pol Corpas, ibadah tersebut sebenarnya dapat membantu di dalam meningkatkan fokus dan disiplin diri sekali gus memperkuatkan mentaliti individu seandainya benar-benar dihayati.
“Bagi saya berpuasa adalah ibadat yang sangat baik. Saya rasa Allah sedang membantu saya untuk jadi lebih tenang dan bersabar. Saya tiada masalah malah bersyukur kerana dapat menjalani ibadat puasa pada Ramadan kali ini.
“Ibadah puasa sebenarnya membantu dalam mengekalkan fokus dan disiplin kerana ketika anda bertambah lapar dan dahaga, minda akan akan betul-betul bekerja untuk kekal tenang dan sabar menjalani rutin harian,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Memeterai Perjanjian Rakan Strategik Sani Ekspress dan Kelantan FC semalam.
Abu Bakar menjelaskan, beliau telah menyusun jadual harian dengan baik bagi membolehkannya melalui tugas serta rutin harian sekali gus membantu menangani lapar dan dahaga sepanjang sehari berpuasa.
Ditanya mengenai perjalanan menerima Islam, beliau menjelaskan ia berlaku lebih kurang sebulan lalu dan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman menjadi salah seorang individu penting dalam proses tersebut.
“Norizam banyak membantu terutama memandu lafaz syahadah saya lebih kurang sebulan lalu. Beliau turut memperkenalkan saya dengan Hidayah Centre Foundation untuk membimbing saya menjadi Muslim yang baik.
“Selain itu teman wanita saya yang merupakan gadis Melayu dan tinggal di Kuala Lumpur banyak menceritakan serta menerangkan perkara-perkara berkaitan Islam sepanjang tiga tahun kami bersama,” katanya.
Abu Bakar mendedahkan, konsep keesaan Allah merupaan nilai utama yang menarik dirinya kepada Islam kerana beliau benar-benar percaya serta menyokong konsep ketaatan kepada Tuhan Yang Esa.
Sementara itu, Norizam menyatakan rasa gembira apabila mengetahui Abu Bakar sebenarnya menyimpan hasrat untuk memeluk Islam dan beliau berpeluang memandu lafaz syahadah penolong jurulatih itu.
“Apabila saya tanya sama ada beliau percaya kepada Allah serta Nabi Muhammad SAW, Abu Bakar mengaku percaya kepada keduanya dan berlakulah lafaz syahadah itu. Beliau kini menerima bimbingan daripada Hidayah Centre Foundation.
“Saya berkesempatan untuk berbual dengan Abu Bakar dan beliau mengakui ada perasaan berbeza apabila menyambut Ramadan sebelum dan selepas memeluk Islam. Sebagai saudara seagama, kami di Kelantan FC menyokong penuh hasratnya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE