SHAH ALAM – Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) digesa mempercepatkan pelaksanaan projek Loji Rawatan Air Telibong Dua bagi menyelesaikan krisis air yang meruncing di Sepanggar, Sabah.
Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud berkata, masalah itu berpunca sumber air tidak mencukupi di dua loji sedia ada di Telibong dan Moyog.
Kata Timbalan Menteri Sumber Manusia itu, loji berkenaan kini terpaksa beroperasi melebihi had ditetapkan sehingga 90 juta liter air sehari.
“Jumlah itu belum mencukupi dan JANS perlu menyegerakan projek Loji Telibong Dua di Tuaran yang dijadualkan siap pada April tahun depan.
“Saya meminta pelaksanaannya lebih cepat bagi menampung keperluan air penduduk Sepanggar buat masa ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Iftar Ramadan Persatuan Pusat Bertauliah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) Malaysia di sini, malam tadi.
Beliau mengulas krisis bekalan air dihadapi lebih 300,000 penduduk Parlimen itu yang masih berlarutan sejak sekian lama.
Jelas Mustapha, JANS turut perlu memastikan catuan air secara berjadual di seluruh kawasan berkenaan.
Tambah beliau, sebuah empangan baharu turut perlu dibina bagi sebagai langkah jangka masa panjang menjelang 20 tahun akan datang. – KOSMO! ONLINE