PETALING JAYA – Penyanyi Aweera mengakui selesa tampil dengan imej berjambang sejak lebih setahun lalu yang disifatkan menyerlahkan lagi sisi kematangannya.
Kata lelaki berusia 31 tahun itu, sebelum ini ramai mengatakan wajahnya tampak keanak-anakan sehingga ada yang menyangka dirinya masih dalam lingkungan usia 20-an.
“Sebenarnya bukan tak suka nampak muda, tetapi apabila sudah melepasi angka 30 dan pernah tampil dengan pelbagai imej sudah tentu sekarang kita mahu nampak segar.
“Senang cakap sejak lebih setahun lalu saya sudah simpan jambang dan selesa begini kerana mudah dijaga supaya kelihatan lebih kemas dan tidak serabut.
“Orang kata imej jambang lebih menyerlahkan sisi kematangan saya dan ‘kena’ dengan genre rock yang saya bawakan,” katanya kepada Kosmo! Online.
Aweera atau nama sebenar, Nasharul Aweera Norhissham yang kini sudah bersatu dengan Mojo selepas lapan tahun berpisah turut teruja untuk berkongsi lagu baharu mereka.
Menganggap penghasilan lagu Superstar yang juga single pertama daripada Extended Play (EP) terbaharu kumpulan itu sebagai petanda untuk dia bersama Edry, Johar dan Danny terus jitu melangkah memperkukuhkan kembali nama Mojo.
“Ikut perancangan KRU Music, kami bakal tampil dengan sebuah konsert pada akhir tahun ini, namun sebelum itu banyak lagi agenda termasuk promosi EP.
“Sejak dilancarkan pada 24 Februari lalu, Superstar meraih maklum balas memberangsangkan. Ini permulaan yang baik untuk kami.
“Semoga penyatuan semula ini membawa lembaran baharu terhadap perjuangan Mojo dalam berkongsi karya untuk halwa telinga pendengar yang memberi sokongan sejak dulu,” kongsinya lagi.
Terdahulu, pada 2015 tercetus kemelut dalaman antara penyanyi asal Perlis itu dengan kumpulannya hingga Azmi Caliph Buskers diambil sebagai pengganti membawakan Romancinta di pentas Anugerah Juara Lagu 29 (AJL29). – KOSMO! ONLINE