fbpx

Hampir 200 Rohingya mendarat di Aceh Timur, dalam perjalanan ke Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELARIAN Rohingya mandi di sebuah pusat perlindungan sementara di wilayah Aceh pada 24 Februari lalu. -- AFP

JAKARTA – Sekurang-kurangnya 184 pelarian Rohingya termasuk ramai wanita dan kanak-kanak mendarat di wilayah paling barat di Indonesia kelmarin, kata beberapa pegawai, selepas mereka dipaksa terjun daripada sebuah bot dan berenang ke pantai.

Beribu-ribu etnik Rohingya dengan kebanyakan mereka beragama Islam, ditindas di Myanmar.

Mereka menggadai nyawa setiap tahun dengan  mengharungi perjalanan yang panjang dan mahal, selalunya dengan menaiki bot berkualiti rendah dalam usaha  sampai ke Malaysia atau Indonesia.

Penduduk bandar Peureulak di Aceh Timur memaklumkan kepada polis pagi kelmarin  selepas menemui kumpulan pelarian tersebut. Polis berkata, mereka terdiri daripada 94 lelaki, 70 wanita dan 20 kanak-kanak.

“Tiada bot dilihat  pantai ketika mereka tiba.

“Ada sebilangan pelarian kelihatan lemah, mungkin kerana sudah berhari-hari tidak makan,” kata ketua mukim Peureulak, Nasri kepada AFP.

Sekurang-kurangnya lima orang telah dibawa ke hospital, manakala yang lain ditempatkan di pekarangan sebuah masjid.

Masjid tersebut dijadikan tempat perlindungan sementara di mana mereka diberikan makanan dan rawatan perubatan.

Pegawai agensi hal ehwal sosial Aceh Timur, Saharani mengesahkan jumlah ketibaan yang sama kepada AFP.

Menurut salah seorang pelarian terbabit, mereka diminta terjun ke dalam laut dan disuruh berenang ke daratan oleh kapten bot tersebut.

“Selepas itu, bot yang kami naiki segera beredar,” kata pelarian Rohingya dikenali sebagai Ali kepada agensi berita Antara.

Menurutnya, kumpulan pelarian Rohingya itu dalam perjalanan menuju ke Malaysia dari Myanmar.

Pegawai tempatan masih berbincang dengan Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) dan Pertubuhan Migrasi Antarabangsa mengenai perlindungan untuk kumpulan pelarian terbabit.

Lebih 2,000 etnik Rohingya dipercayai mengharungi perjalanan berisiko ke negara-negara Asia Tenggara pada 2022, demikian menurut UNHCR.

Agensi sama menganggarkan hampir 200 pelarian Rohingya mati atau hilang ketika cuba menyeberangi laut berbahaya pada tahun lalu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI