ROTTERDAM – Belanda berjaya menebus kekecewaan dengan meraih kemenangan pertama pada kempen kelayakan Euro 2024 dengan menewaskan Gibraltar 3-0 pada aksi Kumpulan B di Stadium De Kuip awal pagi semalam.
Pada aksi tersebut, pemain pertahanan, Nathan Ake telah mempamerkan ketajaman di gawang gol dengan meledak dua jaringan dengan satu lagi gol sumbangan Memphis Depay.
Keputusan itu menyaksikan The Oranje berjaya melupakan seketika kekalahan memalukan 0-4 kepada Perancis dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan minggu lalu.
Pengendali Belanda, Ronald Koeman mengakui masih belum berpuas hati dengan apa yang dipamerkan oleh pasukan meskipun barisan pemain menunjukkan peningkatan prestasi apabila berjaya melakukan 50 rembatan ke atas gawang lawan.
“Secara jujur, saya gembira dengan kemenangan ini, tetapi dalam masa sama sedikit tidak berpuas hati kerana jumlah gol yang kita raih tidak setimpal memandangkan barisan pemain melakukan serangan bertali arus ke kubu lawan.
“Kelemahan paling ketara adalah rembatan yang kita lakukan tidak tepat dan prestasi pertahanan lawan juga wajar dipuji kerana mereka berjaya menggugat sedikit keyakinan jentera serangan kami,” katanya.
Sementara itu, Ake seperti tidak percaya apabila dapat menjaringkan dua gol selain berpendapat barisan pemain sudah kembali menyerap falsafah bola sepak yang cuba diterapkan oleh Koeman.
“Saya agak terkejut apabila dapat meledak dua jaringan dalam satu perlawanan, malah, saya turut berpeluang mencatat hatrik.
“Mengulas mengenai prestasi pasukan, saya anggap kami baru panas dan sudah mula belajar daripada kesilapan yang dilakukan ketika bertemu Perancis sebelum ini,” katanya. – AGENSI