KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh dari Perikatan Nasional (PN) diarah keluar Dewan Rakyat selama tiga hari bermula hari ini selepas ingkar kepada amaran Timbalan Speaker Datuk Ramli Mohd Nor hari ini.
Tindakan itu dikenakan ketika beliau dikatakan mengganggu perdebatan antara ketua whip PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh.
Che Mohamad tidak mengikuti arahan Timbalan Speaker untuk duduk dan memberi laluan kepada perbahasan. Beliau kemudian duduk selepas mendapat amaran kedua ketika cuba membangkitkan peraturan mesyuarat.
Che Mohamad bangun sekali lagi untuk meminta laluan. Kemudian Ramli memberikan amaran ketiga dan mengarahkan bentara mengiring Che Mohamad keluar.
Beliau bangkit memprotes tindakan itu dan mendakwa sudah akur dengan arahan timbalan speaker.
Terdahulu, Takiyuddin yang juga bekas menteri undang-undang membangkitkan peraturan mesyuarat ada Rang Undang-undang (RUU) yang akan dibentangkan hari ini tidak disediakan dalam bahasa Melayu.
“Dua RUU yang akan dibentangkan, memasukkan cadangan pindaannya dengan jelas dalam bahasa Melayu.
“Manakala dua RUU lagi hanya menyediakan cadangan peruntukan dalam bahasa Inggeris sahaja,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.