KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju memberikan sagu hati RM300 kepada Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam (APM), sukarelawan polis dan bomba.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu bakal memanfaatkan seramai 200,000 orang.
“Saya sebut tadi ada kategori tidak dapat manfaat sama, kategori ini ialah sukarelawan. Ia berbeza daripada pekerja tetap tetapi polis bantuan itu tidak termasuk.
“Kategori sukarelawan ini melibatkan seramai 200,000 orang, sehubungan itu menjelang Aidilfitri ini maka saya setuju beri sagu hati kepada mereka RM300,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2023 buat bacaan kali kedua di Dewan Negara, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan inisiatif tambahan lain termasuk peruntukan kredit perumahan menerusi syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP). – KOSMO! ONLINE